Anda di sini

Terengganu FC II tewaskan Kuching City FC 2-0

Advertisement
Antara aksi perlawanan Terengganu FC II menentang Kuching City FC. Gambar ihsan Kuching City
Antara aksi perlawanan Terengganu FC II menentang Kuching City FC. Gambar ihsan Kuching City

JOHOR BAHRU: Terengganu FC II menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam saingan Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini petang Jumaat.

Separuh masa pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan yang mengasak kubu pertahanan lawan gagal menemui penyudah.

Bagaimanapun, pemain tengah skuad The Cats, Jimmy Raymond telah melakukan kesilapan apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-70, dan menghadiahkan jaringan itu kepada pasukan Terengganu FC II.

Percubaan anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk menyamai kedudukan pada minit ke-82 kecundang, selepas bola rembatan leret Mohammad Zainudin Bohri berjaya diselamatkan penjaga gol Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Kuching City FC yang turun sebagai tuan rumah bagaimanapun terus berputih mata apabila Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar yang bijak mengambil peluang merembat masuk bola yang terlepas daripada tangan penjaga gol Mohd Iqbal Mohd Suhimi untuk gol kedua Terengganu FC II, dua minit kemudian.

Keputusan kekal 2-0 sehingga tiupan wisel penamat.

Dengan keputusan ini, Kuching City FC kekal ditangga ketujuh dengan 24 mata dan berbaki dua lagi perlawanan, Terengganu FC II pula kekal melonjak ke tangga ketiga dengan 35 mata setakat ini. -BERNAMA

Advertisement