Anda di sini

Ringgit dijangka diniagakan stabil berbanding dolar AS minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka stabil berbanding dolar AS minggu depan mendapat rangsangan daripada prospek positif di pasaran kewangan global dengan tumpuan terarah kepada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kata seorang ahli ekonomi. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata selepas mencatatkan peningkatan mendadak, ringgit terjejas oleh tekanan jualan pada minggu yang baru berakhir ini yang kemungkinan didorong oleh aktiviti pengambilan untung susulan peningkatan pesat nilai ringgit. 

“Minggu depan, dolar AS/ringgit dijangka stabil pada paras semasa kerana para pelabur akan mengambil petunjuk daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) yang diadakan pada 21-22 Sept.

“Para pelabur akan mencari petunjuk bagaimana Fed akan menilai data terkini, terutamanya jualan runcit semasa Ogos yang melepasi konsensus pasaran penguncupan 0.8 peratus apabila meningkat sebanyak 0.7 peratus bulan ke bulan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang peniaga berkata data ekonomi kukuh daripada ekonomi terbesar dunia itu akan menyediakan sokongan tambahan kepada dolar AS pada akhir minggu ini. 

“Ia berpotensi besar menyebabkan dolar AS meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang apabila perbelanjaan tinggi pengguna boleh memberi isyarat kepada Fed bahawa ia perlu mengurangkan rangsangan kewangan yang ketika ini berjumlah US$120 bilion sebulan, lebih awal daripada yang dijangkakan,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit susut kepada 4.1700/1730 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1340/1370 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain. 

Unit tempatan turun sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0985/1010 daripada 3.0867/0892 pada minggu sebelumnya dan susut berbanding pound Britain kepada 5.7483/7525 daripada 5.7347/7388.

Ringgit juga berkurangan berbanding euro kepada 4.9135/9170 daripada 4.8934/8970 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.7913/7943 daripada 3.7592/7623. - BERNAMA
 

Advertisement