Anda di sini

Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan aktiviti pembelian kebanyakannya berpusat kepada menambah semula stok komoditi tersebut.

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata permintaan untuk komoditi tersebut akan bergantung kepada prospek dan kemajuan proses pemulihan ekonomi di seluruh dunia.

"Apabila pergerakan orang ramai dan aktiviti industri kembali aktif, ia akan memacu permintaan dan harga getah akan meningkat lebih tinggi," katanya kepada Bernama.

Low berkata pengeluaran getah terjejas akibat musim hujan yang berpanjangan yang mengakibatkan kenaikan harga pada minggu lepas.

"Kami menjangka hujan akan berlaku sepanjang bulan ini dan awal bulan depan serta berkemungkinan berlaku kekurangan bekalan dalam beberapa minggu akan datang," katanya.

Sementara itu, pada hari Rabu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa pengeluaran getah asli (NR) pada bulan Julai, 2021 telah meningkat sebanyak 22.3 peratus kepada 47,473 tan metrik berbanding 38,807 tan metrik pada bulan Jun, 2021.

Pada asas tahunan, pengeluaran NR melonjak 13.6 peratus daripada 41,801 tan metrik pada Julai, 2020.

Bagi minggu dagangan pendek sempena cuti umum yang baru berakhir, pasaran ditutup lebih tinggi, menjejaki prestasi kukuh di pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah yang stabil dan data ekonomi Amerika Syarikat yang memberangsangkan.

Berdasarkan mingguan pula, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (MRB) untuk SMR 20 naik 25 sen kepada 682 sen sekilogram (kg) sementara lateks pukal bertambah 5.5 sen kepada 503 sen sekg.

Pada jam 5 petang urus niaga Jumaat, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 679 sen sekg sementara lateks pukal pada 500 sen sekg. - BERNAMA
 

Advertisement