Anda di sini

Sharvin Muniandy sertai kelab Bhairahawa Gladiators beraksi dalam Liga Premier Everest

Advertisement
Gambar Bernama
Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemain kriket negara Sharvin Muniandy telah menandatangani kontrak dengan kelab Bhairahawa Gladiators Nepal untuk beraksi dalam Liga Premier Everest yang dijadualkan berlangsung dari 25 September hingga 9 Oktober di T.U. Stadium di Kathmandu, Nepal.

Pengumuman dibuat menerusi laman web rasmi Persatuan Kriket Malaysia (MCA) pada Khamis.

Menurut MCA, Sharvin merupakan pemain kedua dari Malaysia yang akan beraksi dalam Liga Premier Everest itu, selepas Virandeep Singh.

"MCA cukup teruja dengan kejayaan pemainnya, yang menyemarakkan lagi motivasi pasukan-pasukan kita untuk mengejar matlamat kecemerlangan dalam permainan, semasa kita terus membuktikan bahawa ‘Cricket Breeds Excellence’," menurut kenyataan itu.

Kelab Bhairahawa Gladiators merupakan pasukan francais salah satu liga T20 di Nepal yang menampilkan bakat-bakat nasional serta antarabangsa, dan liga T20 menawarkan peluang untuk persaingan yang sihat dalam kalangan pemain baharu.

Sharvin akan menyertai 20 pemain antarabangsa terkenal seperti Tamim Iqbal, yang sering dianggap sebagai pemukul terbaik dalam sejarah kriket Bangladesh, bekas kapten pasukan Sri Lanka Upul Tharanga, serta Dhammika Prasad yang juga bekas pemain pasukan Sri Lanka. - BERNAMA 
 

Advertisement