Anda di sini

Piala Tun Sharifah Rodziah 2021 dibatalkan

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis mengumumkan pertandingan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2021 dibatalkan.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata pembatalan itu susulan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah memandangkan isu COVID-19 yang berlarutan telah memberi impak yang amat ketara kepada industri bola sepak, termasuk pembangunan teknikal pemain,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata sebagai sokongan kepada inisiatif kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19, FAM memutuskan untuk memberi kerjasama dan patuh pada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pada masa sama, FAM melihat keputusan itu akan memberi lebih ruang kepada semua pasukan untuk membuat persediaan lebih terperinci, selain bebas untuk mengekalkan anggota pasukan masing-masing.

"Malah, FAM amat berbesar hati untuk memberikan khidmat nasihat serta sokongan kepada semua yang terlibat terhadap usaha pembangunan bola sepak wanita di peringkat negeri," katanya.

PTSR adalah kejohanan keempat yang dibatalkan badan induk bola sepak negara itu musim ini selepas Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL). - BERNAMA
 

Advertisement