Anda di sini

Fasiliti, aktiviti sukan bersentuhan dibuka tidak lama lagi  

Advertisement
Abdul Karim (dua kanan) melawat Hub Sukan Tenpin Bowling ABAS/SSC di Megalanas Sarawak, Batu Kawa di Kuching hari ini. Turut kelihatan Dr Ong (kiri), Snowdan, Sunny dan Nancy (kanan).
Abdul Karim (dua kanan) melawat Hub Sukan Tenpin Bowling ABAS/SSC di Megalanas Sarawak, Batu Kawa di Kuching hari ini. Turut kelihatan Dr Ong (kiri), Snowdan, Sunny dan Nancy (kanan).

KUCHING: Fasiliti dan aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan fizikal akan dibuka di negeri ini tidak lama lagi, kata Menteri Sukan dan Belia Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Menurutnya, buat masa ini aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan fizikal belum dibenarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) atau pihak kesihatan. 

Namun, beliau memberitahu kerajaan negeri menerusi JPBNS sedang menimbangkan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan bersentuhan ini. 

“Meskipun kita buka mana-mana fasiliti sukan termasuk aktiviti atau acara-acara sukan bersentuhan, SOP perlu ada. 

“Antaranya lengkap dua dos vaksin, imbas kod MySejahtera, penjarakan fizikal. Dan kalau semua yang terlibat dalam satu-satu acara sukan itu sudah lengkap vaksin, mereka dikira selamat meskipun masih berdepan penularan COVID-19. 

“Jadi persoalan bila boleh dibuka, jawapan saya tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hub Sukan Tenpin Bowling Persatuan Tenpin Bowling Amatur Sarawak (ABAS)/Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Fasa Pertama di Megalanes Sarawak, Batu Kawa di sini hari ini.

Jelas Abdul Karim lagi, berdasarkan statistik kes harian COVID-19 di Sarawak dalam tempoh dua minggu ini, 99 peratus adalah kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan bergejala ringan. 

Ini bermaksud meskipun dijangkiti COVID-19 namun pesakit kategori 1 dan 2 akan pulih dalam tempoh 10 hingga 14 hari jika menjaga kesihatan dengan baik. 

Bagaimanapun katanya bukan bermaksud COVID-19 ini tidak berbahaya tetapi kita perlu hidup bersamanya kerana virus ini tidak akan lenyap sama seperti Malaria dan penyakit lain. 

Ditanya adakah kit ujian kendiri COVID-19 akan digunakan di semua fasiliti sukan apabila dibuka kelak, Abdul Karim berkata ia terpulang kepada penganjur acara atau pengurusan fasiliti. 

Bagi beliau katanya kit ujian ini juga memerlukan kewangan dan ujian kendiri perlu dibuat setiap hari sebelum permainan, ia akan membebankan terutama di kampung-kampung. 

“Acara tertentu yang melibatkan orang luar, mungkin boleh guna kit ujian ini. Jika semua sukan perlu guna kit ujian ini yang untung hanya pembekal,” katanya. 

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Esekutif SSC Dr Ong Kong Swee, Presiden ABAS Sunny Si dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak Nancy Jolhi. 
 

  • oleh
  • Advertisement