Anda di sini

Perusahaan mikro dan tidak formal terjejas teruk akibat tiada simpanan, aliran tunai kukuh

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Perusahaan mikro dan tidak formal di negara ini terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran COVID-19 kerana tidak tergolong dalam sektor utama, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata dapatan tersebut adalah berdasarkan tinjauan secara dalam talian oleh SME Corporation Malaysia, yang dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dari 15 Februari hingga 5 Mac lepas, melibatkan 3,855 usahawan di seluruh negara mengenai impak PKP kepada industri itu.

“Ini adalah sangat membimbangkan kerana perusahaan mikro dan tidak formal adalah perniagaan yang paling banyak terdapat di Malaysia. Justeru, tidak dapat dibayangkan apa yang terpaksa ditempuhi pemilik-pemilik perniagaan dalam masa mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Program MyInspirasi Keluarga Malaysia (MKIM) dan program yang julung kali diadakan iaitu Keluarga Malaysia Grand Networking (KMGN), secara maya hari ini.

Nanta berkata meskipun terdapat bantuan kewangan daripada kerajaan seperti menerusi pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk rakyat dan perniagaan, namun impak pandemik sememangnya tidak dapat dinafikan. 

“Kedai-kedai, kilang-kilang dan perniagaan lain terpaksa ditutup kerana mandat polisi, permintaan yang menurun, kebimbangan pada kesihatan dan faktor-faktor lain. Kebanyakan penutupan ini mungkin menjadi tetap, berikutan ketidakupayaan pemilik perniagaan untuk membayar perbelanjaan yang berterusan dan bertahan akibat penutupan penuh. Impak ini lebih dirasai lagi oleh pemilik perniagaan kecil,” katanya.

Justeru, Nanta berkata MKIM, yang mengumpulkan 150 usahawan untuk berkongsi aspirasi dan inspirasi bagi membawa negara ke peringkat lebih tinggi menerusi program-program KMGN, akan membimbing usahawan dalam menempuhi cabaran tersebut serta membantu mewujudkan peluang perniagaan dan kerjasama.

MIKM dianjurkan oleh Rangkaian Keusahawanan Antarabangsa (IEN) dan Yayasan Persatuan Keluarga Holistik (WFA) bersama Dewan Perniagaan Industri ASEAN (ACCI), syarikat guaman Messrs. Esther Ong Tengku Saiful dan Sree dan syarikat konsultasi Nerv Global. Sdn Bhd.

Nanta berkata inisiatif IEN dan WFA itu akan mencipta peluang yang boleh dijadikan sebagai ‘batu lonjatan’ bagi kerjasama perniagaan dan mempercepatkan proses pemulihan untuk kebanyakan perusahaan. 

Beliau berkata IEN bercita-cita memperkasa usahawan ke arah kecemerlangan, menerusi penekanan pada pembangunan holistik secara berterusan bagi memajukan perniagaan yang boleh menyumbang dan mempengaruhi perubahan yang positif dalam masyarakat.

Katanya IEN bekerjasama erat dengan WFA di bawah inisiatif kedua iaitu bantuan dan sokongan kepada usahawan untuk memberi penyelesaian dan menaik taraf, serta mengukuhkan nama dalam industri. - Bernama 

Advertisement