Anda di sini

Insentif, anugerah buat Bonnie dan Yee Khie diumumkan selepas mesyuarat Kabinet hujung bulan ini

Advertisement
Abdul Karim dan Fatimah merakam kenangan bersama Bonnie dan Yee Khie. - Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak
Abdul Karim dan Fatimah merakam kenangan bersama Bonnie dan Yee Khie. - Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING: Insentif dan anugerah buat dua atlet Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie yang mengharumkan nama negara di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet Negeri hujung bulan ini.

Perkara itu dijelaskan Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberitahu, Kabinet Negeri akan mengadakan mesyuarat pada hujung bulan ini.

"Hari ini kita tidak umum insentif dan anugerah tetapi hujung bulan ini kita akan ada mesyuarat kabinet yang mana kertas berkenaan apakah insentif yang dicadangkan dan juga anugerah yang akan diberi (kepada Bonnie dan Yee Khie) sudah dibawa ke atas. 

"Jadi saya rasa selepas mendapat kelulusan kabinet baru kita umumkan perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan 'Selamat Kembali Ke Bumi Kenyalang Atlet Paralimpik  Tokyo 2020' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.

Abdul Karim dan Fatimah ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama Bonnie dan Yee Khie serta tiga atlet Paralimpik Tokyo 2020 lain.
Abdul Karim dan Fatimah ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama Bonnie dan Yee Khie serta tiga atlet Paralimpik Tokyo 2020 lain.

Jelas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu, insentif dan anugerah yang akan diberikan itu untuk atlet yang berjaya meraih pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, kebiasaannya jumlah insentif negeri adalah separuh daripada jumlah insentif utama yang diberikan kerajaan pusat.

"Bagi kita di Sarawak, semua mereka (atlet Sarawak) yang telah pergi mewakili Malaysia itu adalah wira kita.

"Kita berasa bangga dengan pencapaian mereka dan berharap apa yang telah mereka capai itu menjadi inspirasi kepada atlet-atlet para dan atlet bukan para kerana saya percaya dengan ketekunan, persiapan, latihan dan sebagainya mereka telah dapat mencapai kegemilangan tinggi kerana Olimpik dan Paralimpik diadakan empat tahun sekali.

"Kalau mereka dapat mencapai emas dan pingat mereka adalah yang terbaik dalam dunia, kita berasa bangga kerana dua orang anak Sarawak mencapai pencapaian itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Bonnie dan Yee Khie yang telah meraih pencapaian yang membanggakan dalam temasya sukan tersebut. 

"Tiga lagi atlet yang turut sama yang tidak dapat mencapai kejayaan, seperti yang saya katakan tadi mereka telah melakukan yang terbaik bukan senang untuk berada di podium, menjadi wakil negara sudah mencukupi dan amat membanggakan kita," ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengucapakan terima kasih kepada barisan jurulatih serta ibu bapa atlet para yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka untuk terus berjaya dalam bidang sukan yang diceburi. 

Majlis menyambut Bonnie, Yee Khie dan tiga lagi atlet Paralimpik Tokyo 2020 dari Sarawak, Wiro Julin (para memanah), Jamery Siga (para renang) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (para renang) termasuk Jamil Adam (jurulatih) turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Rashidah Bolhassan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad.

Advertisement