Anda di sini

Bonnie dan Yee Khie wira Sarawak, pecahkan 'siling kaca' untuk OKU tempa kejayaan 

Advertisement
Fatimah (tengah) ditemani Harden, Rosey, Noriah, Dr Rashidah dan tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama Bonnie, Yee Khie, Jamery, Muhammad Nur Syaiful dan Wiro. - Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak
Fatimah (tengah) ditemani Harden, Rosey, Noriah, Dr Rashidah dan tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama Bonnie, Yee Khie, Jamery, Muhammad Nur Syaiful dan Wiro. - Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING: Kejayaan dua daripada lima atlet para dari Sarawak yang mewakili Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan meraih pingat emas dan perak berjaya memecahkan 'siling kaca' untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) meningkatkan potensi diri mereka bagi mencapai prestasi lebih tinggi.  

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebelum ini golongan OKU dihadang oleh 'siling kaca' untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

"Apabila dua atlet Sarawak yang beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berjaya meraih pingat iaitu saudara Bonnie Bunyau Gustin yang telah memenangi pingat emas serta mencipta rekod Paralimpik baharu dalam sukan powerlifting dan Jong Yee Khie dengan kemenangan pingat perak juga dalam sukan powerlifting telah berjaya memecahkan 'siling kaca' ini.

"Ini membolehkan golongan OKU meningkatkan potensi mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi," katanya ketika berucap pada majlis sambutan 'Selamat Kembali Ke Bumi Kenyalang Atlet Paralimpik Tokyo 2020' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Rashidah Bolhassan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad.

Tambah Fatimah, dengan kejayaan itu juga dapat meningkatkan semangat serta potensi diri untuk golongan OKU amnya dan atlet para khasnya di negeri ini memajukan diri mereka dalam apa jua bidang yang mereka minati.

"Kita berharap kejayaan yang dibawa oleh atlet para Sarawak kali ini dapat memberi semangat dan contoh serta teladan kepada atlet para lain untuk menyasarkan pencapaian yang lebih tinggi.

"Malah, ini dapat menunjukkan penglibatkan mereka dalam bidang sukan boleh membawa banyak faedah kepada golongan ini," jelasnya.

Mengenai kejayaan dua atlet para itu, beliau memberitahu, ia merupakan satu pencapaian yang sangat besar dan bermakna bukan sahaja bagi atlet tersebut malah juga seluruh rakyat Malaysia khususnya Sarawak yang turut mendoakan serta meraikan kejayaan mereka.

"Kali pertama terciptanya dalam sejarah sukan Ibu Pertiwiku, wakil atlet para dari Sarawak memenangi dua pingat di temasya sukan antarabangsa, Sukan Paralimpik Tokyo.  

"Hari ini kita menyaksikan mereka (Bonnie dan Yee Khie) membawa pulang pingat tersebut untuk diraikan bersama. Kita juga sangat merasa bangga dengan pencapaian dan semangat kesukanan yang telah dipaparkan oleh tiga lagi atlet para Mohammad Nur Syaiful yang berenang dalam empat acara dan masuk pertandingan akhir dalam dua acara (50 meter gaya bebas dan 100 meter gaya bebas), Wiro Julin yang berjaya ke pusingan kedua dalam memanah dan Jamery Siga dengan penuh semangat telah bertanding dalam renang.

"Selain itu, Jurulatih Jamil Adam yang telah bertungkus-lumus dan usaha untuk membimbing atlet powerlifting sehingga mencapai tahap ke puncak kejayaan yang cemerlang dan sangat membanggakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Fatimah turut menyampaikan ucapan tahniah daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg buat lima atlet para kelahiran Sarawak itu.

Untuk rekod Bonnie, 22 tahun, berasal dari Baru Mawang, Serian telah memenangi beberapa pingat emas di pelbagai temasya sukan antaranya Nur-Sultan, Kazakstan World Para Powerlifting Championship 2019, Tokyo Paralimpik 2020, World Para powerlifting World Cup Bangkok 2021 dan Dubai 2021.

Bonnie juga sekarang memegang rekod dunia junior 65 kilogram dan ke bawah, rekod Paralimpik 72 kilogram dan ke bawah dan nombor satu dunia bagi 72 kilogram dan ke bawah.

Sementara itu, Yee Khie, 32 tahun, berasal dari Batu Kawa, Kuching, pernah memenangi pingat emas di Sukan Asean Para Games Singapore 2015 dan Kuala Lumpur 2017, pingat perak di Sukan Komanwel, Gold Coast - Australia 2018, di Tokyo Paralimpik 2020 dan World Para powerlifting World Cup Dubai 2021.

Jamery pula, 36 tahun, berasal dari Limbang dan pernah memenangi dua pingat gangsa di Asia Para Games, Jakarta 2018 manakala Muhammad Nur Syaiful, 26, berasal dari Asajaya, pernah memenangi pingat emas di Asia Para games, Jakarta 2018, dua pingat perak di Asia Para Games, Jakarta 2018 dan satu pingat gangsa di World Swimming Chamionship London 2019.

Bagi Wiro, 25 tahun, berasal dari Padawan pula pernah muncul dalam Asia Para Archery Championship, Bangkok 2019 dengan memenangi emas (berpasukan), perak (individu dan gangsa (berpasangan campuran).

Advertisement