Anda di sini

Aktiviti sukan bersentuhan belum dibenarkan di Sarawak

Advertisement
Abdul Karim ketika ditemui pemberita, hari ini.

KUCHING: Sarawak kekal tidak membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka serta tertutup.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buat masa ini Sarawak masih lagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang hanya membenarkan aktiviti sukan tidak bersentuhan, tertakluk kepada kelulusan kementerian dan JPBNS.

Namun, beliau menjelaskan, pihaknya akan meneliti untuk melonggarkan SOP bagi perkara tersebut.

"Pada masa ini kita masih lagi mengikut apa yang telah ditetapkan oleh JPBNS sebelum ini yang mana bagi sukan bersentuhan fizikal belum lagi dibenarkan.

"Tetapi memandangkan kita sudah nampak ada kelonggaran yang diumumkan JPBNS semalam berkaitan SOP kemasukan ke Sarawak, insya Allah sukan-sukan (bersentuhan) ini akan dibuka juga," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan 'Selamat Kembali Ke Bumi Kenyalang Atlet Paralimpik  Tokyo 2020' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengenai aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka serta tertutup di negeri Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan kepada individu lengkap vaksin.

Bagaimanapun, aktiviti itu perlu dijalankan secara tempahan, penjadualan penggunaan dan pemantauan rapi selain fasiliti sentiasa disanitasi.

Malah, aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan membabitkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar dan sepak takraw juga dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan itu bagi individu lengkap vaksin dan dilakukan di premis mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, Sarawak juga dalam proses untuk membuka lebih banyak sektor industri termasuk aktiviti sukan secara berperingkat.

"Ini bererti proses untuk pembukaan sentor industri seperti pelancongan serta aktiviti sukan ini sedang dimulakan (secara berperingkat)," tambahnya.

Katanya, ini juga bagi membolehkan para atlet yang akan mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dapat menjalani sesi latihan mereka.

Mengenai perancangan untuk membangunkan para atlet di negeri ini, Abdul Karim berkata, pihaknya sememangnya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk membangunkan potensi atlet-atlet Sarawak untuk bersaing di peringkat negeri, negara dan dunia.

"Sebab itu dalam perancangan kita antaranya pusat kecemerlangan yang akan kita bangunkan di kompleks sukan di Petra Jaya supaya atlet-atlet ini diasuh dengan lebih lebih teliti lagi seperti yang ada di Bukit Jalil, Kuala Lumpur," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement