Anda di sini

Warga emas hilang sejak Sabtu lalu ditemukan selamat

Advertisement
 Warga emas yang ditemukan selamat di kampung Ginapas di sini.
SELAMAT: Warga emas yang ditemukan selamat di kampung Ginapas di sini.

KOTA BELUD: Wanita warga emas yang hilang di Kampung Kalibungan Rosok sejak Sabtu lalu berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata mangsa Tianun Padis, 86, ditemukan semasa mangsa berjalan seorang diri di kampung Ginapas di sini oleh pasangan suami isteri ketika mereka dalam perjalanan menaiki kenderaan ke Hospital Kota Belud.

“Pasangan suami isteri terbabit mengenali mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang dan dicari oleh pihak berkuasa dan segera mengambil warga emas terbabit sebelum dihantar balik ke rumahnya.

“Jarak mangsa ditemukan ialah kira-kira 1.24 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan mangsa ditemukan dalam keadaan kepenatan dan mengalami kecederaan ringan. 

“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Sahimi berkata, dengan penemuan warga emas terbabit, PKTK ditutup dengan rasminya pada jam 9.30 pagi semalam.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas memberi makan kepada ternakan ayam dan kucing yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Susulan itu, anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat bagi mendapatkan bantuan mencari warga emas terbabit.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan pihak berkuasa selama empat hari membabitkan keluasan kawasan pencarian sehingga mencecah empat kilometer persegi.

  • oleh
  • Advertisement