Anda di sini

Remaja dihantar ke Sekolah Henry Gurney kerana merompak warga emas

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo atas kesalahan merompak seorang warga emas lelaki berusia 67 tahun yang dilakukannya pada awal Mac lalu.

Setelah meneliti laporan sosial remaja tersebut hari ini, Hakim Jason Juga menetapkan pesalah muda itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga dia berusia 21 tahun mengikut Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001. 

Terdahulu pada 17 Mac, remaja berkenaan bersama seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun masing-masing mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan tersebut. 

Mengikut pertuduhan pindaan, mereka secara bersama didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa, Lai Fah Kiong, 67, pada 8 Mac 2021, jam 2 petang berhampiran sebuah sungai di Jalan Batu Kawa, di sini.

Mengikut keterangan kes, kedua-dua pesalah muda tersebut dilaporkan mengambil sebuah telefon pintar dan sebuah dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan serta lesen memandu. 

Hasil siasatan juga mendapati mangsa dapat mengecam kedua-dua pesalah muda tersebut semasa barisan kawad cam dilakukan susulan mangsa berpeluang melihat muka mereka dalam jarak dekat pada waktu kejadian. 

Laporan polis seterusnya dibuat dan remaja berusia 15 tahun tersebut ditangkap oleh pihak polis pada 10 Mac 2021 manakala seorang lagi ditangkap pada keesokkan harinya (11 Mac).

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dalam pada itu pada 21 April lalu, remaja berusia 15 tahun itu diperintahkan oleh Hakim Jason untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo selama tiga tahun mengikut Seksyen 91 (1) (f) Akta Kanak-Kanak.

Mahkamah juga memerintahkan ibu bapa pesalah muda tersebut untuk mengunjunginya sebulan sekali bagi tempoh tiga tahun tersebut. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan dan Azham Marwan, manakala kedua-dua pesalah muda itu tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement