Anda di sini

Program GETS diselaras, ikut kehendak PCDS 2030

Advertisement
Abang Johari (tengah) melancarkan simbolik pelancaran GETS 4.0 yang diadakan secara hibrid yang disaksikan Jaul (kiri) dan Sabariah (kanan). - Gambar ihsan Jabatan Penerangan

KUCHING: Beberapa kandungan latihan dalam Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS) 4.0 akan diselaraskan dengan sektor ekonomi strategik PCDS 2030.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata, Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang dilancarkan Ketua Menteri pada 22 Julai 2021 menumpukan pada enam sektor ekonomi iaitu Pembuatan, Pertanian, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan, dan Perkhidmatan.

"Sektor-sektor ini kemudian akan disokong oleh tujuh pemboleh iaitu Transformasi Digital, Inovasi, Pendidikan & Modal Insan, Infrastruktur dan Utiliti Asas, Pengangkutan, dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

"Dengan pelancaran PCDS 2030, beberapa kandungan latihan dalam GETS 4.0 akan diselaraskan dengan sektor ekonomi strategik PCDS 2030," katanya berucap pada majlis pelancaran Program GETS 4.0 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg secara hibrid di sini, hari ini. 

Jaul berkata program GETS yang merupakan anjuran Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) kini memasuki 4.0 telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan objektif utama program ini semakin tercapai.

Menurutnya Program GETS adalah program latihan di tempat kerja selama 12 bulan dimana graduan akan ditempatkan di agensi terpilih berdasarkan latar belakang pendidikan mereka.

"Berdasarkan laporan, kami mendapati bahawa pada 2019 hingga 2021 iaitu 20 peratus daripada 214 pelatih ditawarkan bekerja oleh syarikat seperti Petronas, SAINS, SMA, SDEC, SACOFA, SEB, SEDC, PELITA, SMG, LONGi, OCEANCARE dan banyak lagi.

"Enam peratus daripada kira-kira 65 pelatih telah diambil bekerja oleh syarikat dimana mereka ditempatkan untuk program latihan dan ini bermakna bahawa objektif utama program ini semakin tercapai," katanya.

Tambah Jaul, program GETS diperkenalkan sebagai platform untuk meningkatkan kemahiran bekerja baru, seperti penggunaan bahasa Inggeris sebagai komunikasi di tempat kerja dan untuk meningkatkan kecekapan graduan agar sejajar dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak (2018-2022); dan keperluan tempat kerja masa depan.

Katanya, kumpulan pertama bermula pada tahun 2019 dengan sejumlah 535 pemohon dari latar belakang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan bukan STEM.

"Selepas melalui penilaian yang diperlukan, 321 telah lulus dan ditempatkan di agensi kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

"Kumpulan kedua bermula pada tahun 2020 dan kumpulan ketiga pada tahun 2021 dengan masing-masing 301 dan 437 pelatih, yang ditempatkan di pelbagai industri. 

"Sebahagian besarnya adalah di Kuching, tetapi ada beberapa pelatih ini yang bertugas di Pejabat Residen di setiap bahagian dan juga di Pusat Komuniti Digital di kawasan luar bandar," katanya.

Hadir sama pada majlis pelancaran Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga pengerusi SCOPE, Datu Dr Sabariah Putit, Setiausaha Kewangan Negeri, Datu Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Dr Asleena Helmi.

  • oleh
  • Advertisement