Anda di sini

PPM rampas kosmetik seludup bernilai RM20,000

Advertisement
 Barang kosmetik yang dirampas dibawa ke pangkalan PPM untuk tindakan selanjutnya.
RAMPASAN: Barang kosmetik yang dirampas dibawa ke pangkalan PPM untuk tindakan selanjutnya.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas barang kosmetik bernilai RM20,000 cuba diseludup masuk ke negara ini di Tanjung Manimpa Pulau Bum Bum, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pasukan keselamatan berjaya mengesan sebuah bot yang sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata pasukannya mendapati terdapat dua lelaki di dalam bot berkenaan.

“Anggota keselamatan cuba menghampiri bot berkenaan untuk membuat pemeriksaan terhadap barang yang mereka bawa.

Namun, suspek yang menyedari kehadiran anggota keselamatan bertindak memecut laju ke kawasan pokok bakau sebelum berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan keatas bot yang ditinggalkan suspek berjaya menemukan tujuh kotak mengandungi barang kosmetik disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Kesemua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan dirujuk ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Tawau,” katanya.

Sementara itu, pasukanya turut merampas sebanyak 330 liter minyak petrol cuba diseludup keluar ke negara jiran di kawasan laut Singamata Pulau Bum Bum, di sini kira-kira jam 3.30 petang.

Katanya, anggota keselamatan mengesan pergerakan sebuah bot disyaki menuju ke sempadan dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.

“Sebaik cuba dihampiri, juragan bot berkenaan bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan menemukan 11 jerikin berisi minyak petrol disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.

Mohamad berkata, kesemua barang rampasan yang bernilai RM3,993 itu di bawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan bekalan 1961 dan akan dirujuk dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) Semporna,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement