Anda di sini

Polis siasat wanita warga asing disamun dan dirogol di Tanjung Tokong

Advertisement
 

GEORGE TOWN: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang wanita warga asing yang disamun sehingga mengalami kecederaan dan mendakwa dirogol ketika sedang berjalan kaki di kawasan Tanjung Tokong, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 24 tahun itu mendakwa dia sedang berjalan kaki di kawasan tersebut pada 7.30 malam sebelum bahagian belakang kepalanya dipukul dan menyebabkannya terjatuh serta pengsan.

“Mangsa kemudiannya tersedar daripada pengsan dan berada di kawasan semak berhampiran dia berjalan kaki, serta mendapati telefon bimbit dibawanya hilang manakala bahagian kepala sakit dan mukanya cedera dipercayai akibat terjatuh selepas dipukul.

“Wanita itu mendakwa dia kemungkinan turut dirogol dalam kejadian itu dan mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan, dia membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada 4.30 pagi Isnin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya terdapat dua saksi yang melihat mangsa berjalan kaki di kawasan tersebut iaitu sebelum kejadian dia disamun, namun mereka telah berjoging ke hadapan dan tidak perasan wanita itu disamun.

Soffian berkata berdasarkan laporan awal daripada doktor di HPP, tidak terdapat kesan koyakan baru pada kemaluan wanita itu namun pihaknya masih menunggu laporan lengkap perubatan berhubung perkara tersebut.

Katanya ketika ini polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut, agar menyalurkannya kepada polis.

“Tiada kamera litar tertutup di kawasan kejadian itu namun polis sedang mendapatkan maklumat daripada saksi yang berada di situ bagi membantu siasatan lanjut kes itu,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun dengan mendatangkan cedera.

Tular di media sosial, gambar seorang seorang wanita mendakwa dirogol dan dipukul ketika berjalan kaki di kawasan Tanjung Tokong sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai ramai kerana bimbang kejadian serupa berlaku lagi. - Bernama 

Advertisement