Anda di sini

Pelan tindakan daerah bebas dadah bermula dari Dalat

Advertisement
Fatimah bercakap pada sidang media mengenai mengenai isu dadah dan bahan terlarang di Sarawak. Turut kelihatan Harden (dua kanan) dan Jasmirol (kiri).
Fatimah bercakap pada sidang media mengenai mengenai isu dadah dan bahan terlarang di Sarawak. Turut kelihatan Harden (dua kanan) dan Jasmirol (kiri).

KUCHING: Jawatankuasa Sehenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Terlarang (MIDS) akan memulakan Pelan Tindakan Bersepadu bagi Daerah Bebas Dadah di Sarawak.  

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata projek perintis bagi pelan tindakan tersebut akan dimulakan di Dalat. 

Bagi tujuan itu jawatankuasa tersebut akan memulakan projek perintis Pelan Tindakan Bersepadu bagi Daerah Bebas Dadah di Sarawak bermula dengan daerah Dalat. 

“Projek akan bermula dengan program bengkel mengenai isu di Dalat pada 17 hingga 20 September ini. 

“Selepas Dalat kita akan adakan projek sama di Subis dan seterusnya ke daerah-daerah lain mengikut kesediaan komuniti dalam daerah itu sendiri,” katanya pada sidang media laporan berkala OSC bagi MIDS Negeri Sarawak bagi bulan Ogos 2021 di pejabat kementerian di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini. 

Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Iskandar Turkee dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin.  

Menjelas lebih lanjut mengenai pelan tindakan tersebut, Fatimah berkata ia merupakan pendekatan baharu OSC dalam usaha menangani isu berkaitan dadah dan penyalahgunaan bahan terlarang di negeri ini. 

Di bawah pelan tindakan ini katanya, OSC yang terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasa yang berkaitan akan secara agresif memutuskan bekalan dadah daripada sampai ke tangan penagih. 

Selain itu katanya pelan tindakan ini juga tidak hanya fokus kepada rawatan dan pemulihan klien (penagih) tetapi juga keseluruhan ekosistem di mana klien berada iaitu keluarga dan komuniti. 

“Kita juga akan memperkenalkan kaedah baharu seperti penggunaan Kad Kesejahteraan Sosial dan Borang Rujukan bagi rekod klien bagi memudahkan pengesanan kes,” katanya. 

Terdahulu Fatimah berkata walaupun isu dadah dan penyalahgunaan bahan terlarang di Sarawak masih terkawal tetapi matlamat OSC yang ditubuhkan pada 2018 akan untuk memastikan isu ini terus menurun. 

Untuk rekod bulan Ogos 2021 katanya, sebanyak 363 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Kastam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak. 

Hasil operasi ini katanya sebanyak 463 tangkapan direkodkan dimana 57 daripadanya melibatkan pengedaran, 119 memiliki dadah dan bahan terlarang dan 287 individu yang disaring positif urin. 

Jumlah ini katanya menunjukkan penurunan sebanyak 28.98 peratus berbanding dengan tangkapan dalam bulan Julai 2021 (652 tangkapan). 

Melalui operasi tersebut, sebanyak 11,597.07 gram (11.59 kg) dadah dan bahan terlarang berbentuk mampat dan 34,423 berbentuk pil telah dirampas oleh JSJN dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM926,000. 

Impak rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 133,181 kali penggunaan dadah dan bahan terlarang dan menyelamatkan 31,143 individu bagi tempoh sebulan di Sarawak. 

Advertisement