Anda di sini

Lima penduduk dipindahkan akibat banjir kilat

Advertisement
Anggota bomba sedang meninjau dan membantu memindahkan mangsa selepas kediaman mereka dinaiki air banjir kilat malam tadi.
Anggota bomba sedang meninjau dan membantu memindahkan mangsa selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.

BINTULU: Pasukan Bomba dan Penyelamat Bintulu telah memindahkan lima penduduk dari dua buah rumah di Batu 8 Jalan Bintulu-Miri di sini yang terperangkap dalam banjir kilat malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.14 malam.

Wan Kamaruddin berkata, setiba di lokasi didapati sebanyak 16 buah rumah di kawasan berkenaan ditenggelami air sedalam tiga kaki.

"Pasukan penyelamat menggunakan bot memindahkan mangsa yang terdiri daripada dua orang lelaki termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dan tiga perempuan ke rumah saudara berdekatan.

"Sementara itu, penghuni 14 buah rumah lagi tidak mahu berpindah walaupun sudah dinasihatkan untuk berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan hari ini berkata seramai 10 orang anggota telah dikejarkan ke lokasi sama bagi membantu anggota bomba memindahkan mangsa banjir kilat berkenaan.

Ketika tiba di lokasi, Skuad Tinjau APM mendapati air mengalir deras melalui sebatang anak sungai berdekatan dan melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

Pasukan APM terbabit kemudian menggunakan bot penyelamat bagi meninjau keadaan keselamatan penduduk.

Bagaimanapun tidak melibatkan perpindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan tiada PPS yang dibuka.

Difahamkan, penduduk yang dipindahkan menumpang sementara di rumah saudara terdekat.

  • oleh
  • Advertisement