Anda di sini

Lebih baik lambat daripada tiada: Maximus

Advertisement
MAXIMUS
MAXIMUS

KUALA LUMPUR: "Lebih baik lambat daripada tiada," begitulah pandangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili mengenai keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk menyokong cadangan kerajaan dwipartisan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, PBS menyambut baik keputusan berkenaan dalam usaha mencapai kestabilan dan transformasi politik di negara ini.

Beliau berkata, secara dasarnya, keputusan kerjasama dwipartisan sudah berakhir sejak ia dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga minggu lepas.

"Sebagai Presiden PBS, saya juga terlibat dalam usaha menghulurkan 'jemputan' kepada Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menyertai kerjasama transformasi ini, tetapi mereka menolak.

"Walaupun keputusan pembangkang  untuk menyertai kerjasama ini terlewat tiga minggu, namun ini lebih baik dari langsung tiada," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Pihaknya mengalu-alukan kesediaan pihak PH untuk menerima prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara kerajaan dan PH, terutama hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), undang-undang lompat parti, mengurangkan had tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Bagaimanapun jelasnya, PBS tidak menyokong sepenuhnya perkara berkaitan pendaftaran automatik pengundi sehingga daftar pemilih di Sabah dibersihkan dari pendatang tanpa izin (PTI).

"Kami sedia bekerjasama dengan PH, terutama isu berkaitan MA63 yang tidak disentuh pihak PH semasa mereka berkuasa. Contohnya isu PTI di Sabah, pemberian dokumen secara meragukan yang tidak dapat diselesaikan, status warga asing yang memegang sijil IMM13, Kad Burung-Burung, dan Sijil Bancian, serta isu kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan ketara di Sabah, terutama di luar bandar Sabah,” katanya.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu semasa hadir pada majlis menandatangani MoU itu sempat duduk dan beramah mesra dengan Ahli Parlimen pembangkang Sabah.

Namun beliau menjelaskan, pendirian PBS berbeza dengan pembangkang dari segi idea, perjuangan politik dan konsep berbilang kaum. 

Isnin lepas, MoU yang dimeterai di antara kerajaan dengan PH adalah satu kerjasama menitik berat semangat Keluarga Malaysia dan merangkumi usaha mengukuhkan rancangan memerangi COVID-19.

Selain itu, kerjasama berkenaan juga untuk transformasi pentadbiran, reformasi Parlimen, memastikan kebebasan dalam sistem kehakiman, MA63, dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
 

Advertisement