Anda di sini

Kerajaan tidak teruskan PROTEK 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan Program Vaksinasi Tenaga Kerja Nasional (PROTEK), program vaksinasi COVID-19 untuk syarikat swasta, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata keputusan itu dibuat setelah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan kebenaran kepada warga pekerja untuk mendapatkan vaksin secara jumpa terus mulai 1 Ogos lepas.

“Banyak majikan di negara ini telah menyahut seruan MOSTI dan menghantar pekerja mereka ke Pusat-Pusat Pemberian Vaksin (PPV) jumpa terus. Maka, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memutuskan untuk tidak meneruskan PROTEK,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta penjelasan mengapa kerajaan masih melancarkan PROTEK dan mengenakan bayaran terhadap majikan atau potongan levi untuk vaksinasi sedangkan kerajaan telah memperuntukkan RM5 bilion untuk vaksinasi yang dikatakan dapat menampung keperluan 110 peratus populasi.

Saravanan berkata pada awalnya kementerian bersama Majlis Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) melaksanakan PROTEK memandangkan syarikat-syarikat ingin mempercepatkan pemberian vaksin COVID kepada pekerja mereka.

Beliau berkata program itu menawarkan pilihan kepada majikan yang sukarela mahu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada pekerja bagi meningkatkan kadar imuniti kelompok dalam kalangan mereka. - Bernama 

Advertisement