Anda di sini

Kerajaan perlu laksana strategi baharu tingkat keyakinan pelabur asing

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan strategi baharu bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam usaha menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik serta menarik, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Menurutnya, antara langkah perlu diambil termasuk mempercepat proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam semua urusan syarikat tersenarai.

“Saya mendapat maklum bahawa tempoh kelulusan oleh SC pada masa ini memakan masa yang terlalu lama," katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib (BN-Pekan) juga menyifatkan pasaran saham Malaysia pada masa ini berada di bawah nilai berbanding negara-negara lain dan membolehkan seluruh rakyat untuk turut sama terlibat dalam usaha pemulihan ekonomi.

"Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan agar memperkenalkan program untuk bank-bank Malaysia membiayai 70 peratus daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham dibenarkan," katanya. 

Menurutnya, keadaan fiskal dan ekonomi negara boleh dilihat berdasarkan prestasi Bursa Malaysia yang  disifatkan paling teruk di Asia Pasifik dan kedua tercorot di dunia selepas Venezuela pada separuh pertama 2021 akibat aliran keluar dana asing setiap tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sebagai perbandingan betapa jauh kita ke belakang berbanding dunia, nilai indeks Dow Jones telah naik 42 peratus daripada 24,000 mata pada April 2018 sebelum PRU14 kepada lebih 34,500 mata, semalam. 

"Namun bagi tempoh sama, indeks Bursa Malaysia yang pernah digelar sebagai pasaran saham paling lama mencatat kenaikan dalam dunia atau ‘world's longest bull-run market’ sebelum PRU14 pula jatuh 20 peratus daripada hampir 1,900 mata kepada 1,550 semalam,” katanya.

Najib berkata selepas pertukaran kerajaan, terdapat sedikit pemulihan yang menyaksikan Bursa Malaysia naik 100 mata selepas keyakinan pelabur asing kembali kukuh setelah mencatat aliran masuk dana asing untuk lima minggu berturut-turut. 

"Namun, prestasi pasaran saham kita masih antara yang terbelakang di dunia bagi tahun ini.

"Oleh itu, pendekatan kerajaan perlu berubah...jangan gunakan pendekatan yang terbukti gagal seperti sebelum ini. Kerajaan baharu (juga) bermaksud perlu menggunakan pendekatan baharu untuk kembali pulih," katanya. 

Selain itu, beliau turut mencadangkan langkah untuk menaikkan aliran tunai dalam ekonomi termasuk skim pinjaman mudah i-Survive untuk pemohon daripada golongan B40 dan M40. 

"Pinjaman ini disediakan oleh bank tetapi dengan jaminan penuh kerajaan. Caj perkhidmatan sebenar paling maksimum adalah 3.0 peratus atau bersamaan dengan RM90 setahun bagi pinjaman sebanyak RM3,000 untuk tempoh pinjaman selama tiga tahun," katanya.

Malah, beliau berkata, langkah itu tidak akan memberi impak terhadap hutang langsung negara kerana ini merupakan jaminan kerajaan kepada bank.

"Bank-bank Malaysia mencatat keuntungan tinggi biarpun dalam keadaan pandemik COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut meminta kerajaan menaikkan had pengeluaran skim i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada RM10,000 daripada RM5,000 dengan syarat kerajaan perlu bersungguh memulakan usaha meningkatkan semula aset KWSP menerusi pemberian lebih banyak peluang perniagaan untuk syarikat-syarikat milik dana persaraan tersebut. - Bernama 

Advertisement