Anda di sini

Kebolehpasaran graduan terkesan akibat pandemik COVID-19

Advertisement
NUR HAZILAH
NUR HAZILAH

KOTA KINABALU: Kebolehpasaran graduan menjadi subjek utama perbincangan bagi membantu mengatasi masalah pengangguran dalam negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Nur Hazilah Omar berkata, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyatakan dalam Kajian Pengesanan Graduan bagi tahun 2020 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merekodkan kadar kebolehpasaran graduan pada 2020 adalah 84.4 peratus, menurun sedikit berbanding 86.2 peratus pada 2019. 

"Data itu bagaimanapun melepasi unjuran awal KPT iaitu sebanyak 75 peratus berikutan situasi negara yang dilanda pandemik COVID-19. 

"Menurut statistik graduan siswazah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2019, kadar penyertaan tenaga buruh graduan siswazah menunjukkan angka penurunan 0.1 peratus pada 2019, iaitu daripada 83.6 peratus kepada 83.5 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah penganggur graduan siswazah pada 2019 pula dicatatkan seramai 170,300 orang, iaitu meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya seramai 161,300 orang. 

Katanya, kajian Institute of Student Employers (ISE) melaporkan tahap pengambilan pekerja atau pasaran buruh graduan dan pelajar latihan atau penempatan Malaysia turun sebanyak 15 peratus kepada 29 peratus tahun lalu.

"Dijangkakan angka penurunan ini akan berlanjutan sehingga tahun berikutnya dengan menyaksikan lebih 30 peratus penurunan mungkin terjadi khususnya bagi pekerjaan graduan siswazah.

"Berikutan penularan wabak COVID-19, kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik berkenaan.

"Pandemik yang berlaku ini memberikan kesan besar kepada bukan sahaja graduan tetapi bakal graduan yang akan bergraduasi pada 2021," katanya.

Menurutnya, semakin tinggi kadar kebolehpasaran graduan, semakin tinggi kualiti graduan yang dihasilkan oleh IPT dan berupaya memenuhi permintaan industri. 

Katanya, kadar kebolehpasaran graduan amat berkait rapat dengan prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan negara. 

Sehubungan itu katanya, kerjasama secara kolektif dan bersama dengan semua pihak amat perlu dalam memastikan kadar kebolehpasaran graduan ini dapat ditingkatkan lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara dan dunia.

Beliau berkata, para graduan juga perlu meningkatkan kemahiran dalam aspek pendigitalan dan ekonomi gig yang memerlukan graduan berfikiran lebih kreatif menggunakan teknologi di hujung jari dalam menempuh cabaran masa kini.

Menurutnya, para graduan perlu mengambil peluang untuk memperkayakan pengetahuan dengan sumber-sumber terbuka menerusi melibatkan diri dalam program dan inisiatif peningkatan kerjaya yang dilaksanakan oleh KPT.
 

Advertisement