Anda di sini

Kaedah baharu kesan dadah dalam kurier 

Advertisement
 

KUCHING: Satu kaedah baharu bakal diguna pakai buat pertama kali di Sarawak bagi mengesan dadah yang dibawa masuk ke negeri ini menerusi khidmat kurier. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin berkata banyak usaha telah dibuat untuk memutuskan bekalan dadah ke negeri ini termasuk menerusi khidmat kurier. 

“Khidmat kurier yang masuk di Sarawak bukannya satu atau dua tan tetapi 30 tan hingga 50 tan sehari dan bukan sahaja masuk ke Kuching tetapi juga tempat-tempat lain Bintulu, Limbang, Lawas dan sebagainya. 

“Kita check (periksa khidmat kurier) tetapi tidak mencakupi untuk mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) kita untuk tahu apa segala benda yang ada dalam bungkusan tersebut. 

“Mereka juga pandai mengaburi kita dengan mengatakan misalnya bungkusan itu sejenis minuman tetapi ada syabu di dalamnya,” katanya pada sidang media mengenai isu dadah dan bahan terlarang di Sarawak hari ini. 

Sidang media tersebut dipengerusikan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluara dan Pembangunan Awal Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah di pejabat kementerian di Bangunan Baitulmakmur II di sini. 

Tambah Jasmirol bagi mengesan bekalan dadah dalam bungkusan kurier, ada langkah terbaharu yang akan dibuat oleh Kerajaan Sarawak dan yang pertama di Malaysia. 

Menerusi langkah terbaru ini katanya satu alat teknikal akan digunakan untuk memastikan sama ada bungkusan yang sampai menerusi kurier mengandungi dadah atau tidak. 

Terdahulu Jasmirol berkata sasaran JSJN terutama pada pandemik COVID-19 ini adalah membanteras sindiket pengedaran dadah bagi memutuskan bekalan kepada penagih. 

Kataya sejak Jawatankuasa Sehenti (OCS) bagi Menangani Isu Dadah dan Bahan Terlarang (MIDS) ditubuhkan pada 2018, banyak operasi bersepadu telah dijalankan bersama agensi lain secara agresif. 

Usaha yang dibuat OSC ini katanya telah menunjukkan hasil yang berkesan sehingga dapat membuat tangkapan terutama melibatkan sindiket dadah ini. 

Dalam pada itu sejak Januari 2021, Sarawak merekodkan sebanyak 5,415 tangkapan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang hasil daripada 4,248 operasi yang dijalankan JSJN Sarawak, Jabatan Kastam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak. 

Daripada jumlah itu daerah Kuching merekodkan jumlah tangkapan tertinggi (1,415) diikuti Bintulu (449), Sibu (425) dan Samarahan (391). 
 

  • oleh
  • Advertisement