Anda di sini

Hukuman ditangguh, kediaman tukang kayu terlibat kes rogol dikenakan PKPD

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini menangguhkan kes seorang lelaki tukang kayu yang didapati bersalah merogol anak buahnya apabila tertuduh dan peguamnya tidak dapat hadir ke mahkamah susulan kawasan kediaman mereka diperintah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Hari ini, tertuduh yang berusia 47 tahun itu sepatutnya mengemukakan rayuan dan bakal dijatuhkan hukum setelah didapati bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, kediaman tertuduh dan peguamnya, Wit Malang diperintahkan untuk menjalani PKPD dan sehubungan itu, Hakim Jason Juga menetapkan kes disebut semula pada 27 September ini untuk tertuduh mengemukakan rayuan dan dijatuhkan hukum. 

Tertuduh juga sepatutnya dijatuhkan hukum pada 4 Ogos lalu namun dia didapati positif COVID-19 dan ditempatkan di pusat kuarantin sehingga 12 Ogos.

Terdahulu pada 21 Julai, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan tersebut selepas perbicaraan penuh, susulan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol gadis berusia 12 tahun yang merupakan anak buahnya, di rumah mangsa terletak di sebuah kampung di Bau, pada Februari 2018. 

Menurut laporan terdahulu, ibu mangsa membuat laporan polis susulan terdengar perbualan anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan mangsa, berhubung tertuduh dikatakan telah melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa. 

Difahamkan, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut berulang kali namun mangsa tidak berani untuk memberitahu ibunya kerana tertuduh dikatakan telah mengugutnya. 

Tertuduh seterusnya dilaporkan ditangkap pada sekitar jam 12.45 tengah hari, 5 November 2018 di kediamannya, juga di kampung sama. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.

  • oleh
  • Advertisement