Anda di sini

Wong minta penjelasan mengenai bayaran SST Petronas

Advertisement
Wong tiba di Mahkamah Sibu untuk memberi keterangan.
Wong tiba di Mahkamah Sibu untuk memberi keterangan.

SIBU: Dato Sri Wong Soon Koh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa dia telah mengeluarkan kenyataan media semata-mata untuk meminta penjelasan daripada kerajaan Sarawak mengenai pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) dari Petronas sebanyak RM2 bilion dan bukannya RM3.897 bilion yang dinyatakan dalam Bajet Negeri.

Ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah oleh kerajaan negeri terhadap kenyataan media itu, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu mengatakan sebagai wakil rakyat, dia berhak mengajukan pertanyaan mengenai perkara itu setelah kerajaan negeri dan Petronas mengeluarkan kenyataan bersama mengenai perkara tersebut.

Dia juga berpendapat bahawa kerajaan negeri harus memberitahu kepada rakyat mengenai pengurangan tersebut yang merupakan pendapatan bagi rakyat Sarawak dan itu adalah perkara yang penting kepada umum.

“SST adalah pendapatan untuk negara. Sesiapa sahaja, bukan hanya wakil rakyat, orang ramai juga boleh mengemukakan pertanyaan tersebut atas kepentingan awam dan umum,” ujar Wong.

Beliau yang merupakan saksi terakhir dari pihak pembelaan berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam kerajaan negeri selaku plaintif, Dato Sri JC Fong.

Wong memebritahu mahkamah bahawa kerajaan negara dapat memberi respon dengan mudah kepadanya berhubung perkara itu daripada menyaman beliau dalam usaha untuk menekannya agar tidak mengajukan pertanyaan lebih lanjut.

ADUN Bawang Assan itu juga berulang kali memberitahu mahkamah bahawa angka RM3.897 bilion yang dinyatakan dalam kenyataannya itu dikeluarkan sebagai tindak balas kepada kenyataan bersama Petronas dan Kerajaan Negeri berdasarkan anggaran bajet tahunan 2019.

Wong memberitahu bahawa kenyatan bersama itu adalah satu-satunya dokumen rasmi yang boleh dipercayai.

"Seperti yang saya katakan, untuk tahun 2019, beberapa draf adalah anggaran tetapi bagi SST yang akan dikumpulkan dari Petronas untuk tahun 2019, itu adalah jumlah pasti kerana ia berada di bawah ruang 'disemak' yang jumlahnya telah disahkan dan terbukti betul.

"Pada waktu itu, saya hanya dapat bergantung pada catatan rasmi ketika saya mengeluarkan kenyataan itu dan catatan rasmi iaitu Bajet Negeri yang disampaikan oleh Ketua Menteri kepada Badan Perundangan," katanya.

Fong: Saya menyatakan bahawa semasa anda mengeluarkan kenyataan akhbar, anda tidak mengesahkan kepada PW1, Dato Sharifah atau SAGC mengenai jumlah yang dipertikaikan dalam proses undang-undang yang akan diselesaikan oleh pihak-pihak seperti yang diumumkan dalam kenyataan bersama itu.

Wong: Kenyataan bersama yang merupakan kenyataan umum itu memberitahu seluruh dunia bahawa jumlah yang perlu dibayar oleh Petronas hanya RM2 bilion. Saya berpendapat bahawa ia adalah kenyataan yang benar dari kerajaan.

Fong: Bukankah pembayaran RM2 bilion itu berkaitan dengan penyelesaian kes-kes mahkamah yang diumumkan dalam kenyataan bersama?

Wong: Sama ada pembayaran RM2 bilion itu berkaitan dengan penyelesaian kes-kes mahkamah sekali lagi itu tidak penting kerana Petronas di bawah kenyataan bersama itu akan membayar melalui anak syarikatnya 'dengan penuh RM2 bilion' yang dinyatakan dengan jelas dalam kenyataan bersama itu.

Fong: Adakah PW1 Dato Sharifah dalam kenyataan akhbarnya mengatakan bahawa jumlah tepat SST yang perlu dibayar dari Petronas untuk tahun 2019 masih belum dikira?

Wong: Perkara itu sudah disebut dalam kenyataan bersama.

Fong: Tetapi dia menjelaskan bahawa bagi membalas kenyataan anda bahawa jumlah tersebut masih dalam pengiraan, adakah anda setuju?

Wong: Saya mendapati dalam kenyataan bersama itu bahawa jumlah penyelesaian 'dengan penuh' adalah RM2 bilion. Saya menganggap ia adalah jumlah penuh RM2 bilion yang harus dibayar melalui anak syarikat Petronas.

Fong: Sebelum anda mengeluarkan kenyataan akhbar, ada penjelasan dari Sharifah bahawa jumlah tepatnya masih dikira. Mengapa anda tidak menyatakan apa yang PW1 katakan dalam penjelasan mengenai jumlah yang harus dibayar oleh Petronas, dalam pengiraan, dalam kenyataan media anda sendiri ?

Wong: Seperti yang saya katakan, itu seharusnya dinyatakan dalam kenyataan bersama yang asal agar tidak berlaku salah faham atau agar kenyataan itu boleh mengelirukan.

Fong: Selepas penjelasan, adakah anda masih keliru ?

Wong: Bukan soal keliru. Saya sangat prihatin dengan jumlah besar yang perlu dibayar untuk SST berjumlah RM3.897 bilion berbanding dengan RM2 bilion yang merupakan jumlah yang harus dibayar oleh Petronas. Sekali lagi, saya ingin menekankan 'dengan penuh' - pembayaran penuh, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan bersama yang asal.

Wong juga menjelaskan kepada mahkamah bahawa ketika menjadi Menteri Kewangan, dia menerima angka RM3.897 bilion dalam ucapan penggulungannya yang datang dari Ketua Menteri.

Beliau juga mengatakan bahawa dia tahu dengan tepat angka RM3.897 bilion itu kerana percaya semua jabatan dan pegawai yang berkenaan yang memberikannya angka itu.

Kerajaan negeri menyaman Wong telah dikatakan mengeluarkan kenyataan erunsur fitnah dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 9 Mei lepas mengenai penyelesaian kerajaan negeri dengan Petronas berhubung SST.

Perbicaraan akan bersambung hari ini.

Advertisement