Anda di sini

WHO hantar 23 tan metrik ubat, alat perubatan ke Afghanistan

Advertisement
 

KABUL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin menghantar kira-kira 23 tan metrik ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke Afghanistan.

Penghantaran itu, adalah bantuan kemanusiaan pertama yang tiba di lapangan terbang Kabul sejak operasinya terjejas 15 Ogos lalu, diterbangkan oleh penerbangan Qatar Airways sumbang kerajaan Qatar, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik kenyataan WHO.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Qatar atas sokongan dan sumbangan itu, membolehkan WHO menampung semula bekalan dan memenuhi keperluan penduduk yang paling berisiko.

"Oleh kerana keperluan kesihatan meningkat di Afghanistan, kita harus betindak pantas untuk mengatasi kekurangan bekalan perubatan agar perkhidmatan kesihatan dapat terus disediakan.

"Penerbangan kedua yang disumbangkan oleh Qatar dijangka tiba akhir minggu ini, membawa lebih banyak bekalan perubatan WHO," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua penghantaran itu mengandungi ubat-ubatan penting seperti insulin, kit pembedahan dan trauma, serta kit ujian COVID-19, akan membantu keperluan kesihatan mendesak 1.45 juta orang dan cukup untuk 5,400 pembedahan besar dan kecil.

Bekalan itu akan diedarkan ke 280 kemudahan kesihatan dan 31 makmal awam COVID-19 di seluruh Afghanistan.

Menurut kenyataan itu lagi, WHO sedang berusaha meneroka kaedah lain untuk mempercepat penghantaran bekalan kesihatan ke Afghanistan. - Bernama 

Advertisement