Anda di sini

Runtuhan batu: 10 peratus badan jengkaut sudah kelihatan

Advertisement
Kerja-kerja mengalihkan batu di lokasi kejadian.
Kerja-kerja mengalihkan batu di lokasi kejadian.

BAU: Operasi mengeluarkan mangsa runtuhan batu di sebuah kuari di Jalan Tanjung Durian, Siniawan diteruskan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pasukan operasi menemui kerangka jentera di bahagian tangki dalam timbunan batu tersebut setakat jam 10.32 pagi tadi.

Susulan itu, kerja-kerja mengalihkan runtuhan batu tersebut oleh pihak kuari dengan menggunakan empat jengkaut masih giat dijalankan.

"Anggaran 10 peratus kesuluruhan badan jengkaut yang tertimbus sudah dapat dilihat.

"Halangan kesukaran operasi adalah batu besar yang masih berada di atas kedudukan jengkaut dan kerja-kerja mengalihkan batu besar tersebut masih giat dijalankan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3.18 petang Isnin, apabila mangsa Anthony Kan-na ,48, sedang melakukan kerja-kerja meratakan tapak batu.

Katanya, berlaku runtuhan menyebabkan mangsa serta jengkautnya tertimbus dan dihempap batu sebesar anggaran 20 meter.

Difahamkan runtuhan adalah susulan aktiviti mengebom batu pada sebelah pagi dan menyebabkan struktur batu tidak stabil.

Operasi menyelamat dilancarkan selepas itu dan ditangguh pada malam tadi atas faktor keselamatan dan disambung semula dari jam 8 pagi tadi.

Pasukan bomba diketuai Komander Operasi Tawang Lingem turut melakukan pemantauan keselamatan di lokasi kerana dikhuatiri berlaku runtuhan susulan kerja-kerja mengalihkan batu yang dilakukan pihak kuari.

Hadir sama di lokasi kejadian ialah Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii.

  • oleh
  • Advertisement