Anda di sini

Rawatan fisioterapi bantu pesakit 'lawan' COVID-19

Advertisement
 

Oleh Rafe'aton Md. Ali

“Hari-hari adik berdoa kepada Allah supaya mama cepat sembuh daripada COVID-19, moga mama cepat balik dan boleh peluk adik. Adik tak nak mama mati, adik sayang mama.”

Demikianlah kata-kata yang diiringi tangisan Nur Alisya Balqis Mohd Dzahuddin, 7, melalui panggilan telefon kepada ibunya Noor Hazila Muhammad, 43, pesakit COVID-19 kategori 3, sepanjang dua minggu wanita itu dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini, Julai lepas.

Tangisan anak bongsu kesayangan pada setiap malam itulah yang membuatkan Noor Hazila atau lebih mesra disapa Lala, kembali bersemangat dan berusaha memulihkan diri daripada “kesengsaraan” sakit COVID-19 dengan melakukan senaman dan mengikuti arahan rawatan fisioterapi secara maya.

Menurut Noor Hazila, keadaannya amat kritikal ketika mula dikuarantin di PKRC MAEPS pada 18 Julai lepas, kerana beliau bukan sahaja obes dengan Indeks Jisim Badan melebihi 30, tetapi juga penghidap asma sejak berusia tiga tahun.

“Saya betul-betul down (tertekan) setelah disahkan positif COVID-19. Selain bergejala seperti demam, berkahak, doktor memaklumkan ujian X-ray paru-paru saya sangat teruk, nampak putih menunjukkan ada radang paru-paru,” katanya yang turut menghidap penyakit darah tinggi kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, ujian keradangan paru-paru dalam darahnya (C-reactive protein/CRP) menunjukkan bacaan terlampau tinggi iaitu 150mg/L berbanding bacaan 10mg/L untuk individu normal.

“Saya cepat semput dan mengalami keletihan melampau. Nak berjalan ke bilik air, walaupun hanya 10 meter dari katil, terasa amat sukar,” katanya yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 berikutan alergi ubat-ubatan tertentu.

“Hanya wajah suami dan anak-anak bermain dalam fikiran…dunia gelap seketika dan bagaikan tiada harapan untuk saya pulih daripada jangkitan COVID-19 ini,” kata pembantu tadbir di sebuah klinik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras itu.

TEKAD BERSENAM SEMASA KUARANTIN

Melalui bantuan rakannya yang merupakan seorang ahli fisioterapi di HCTM, Noor Hazila kuatkan semangat untuk melawan COVID-19 dan kembali pulih dengan berusaha melakukan senaman dan pergerakan mudah sekerap mungkin melalui telefisioterapi sepanjang tempoh kuarantin di MAEPS.

“Walaupun cepat semput, saya buat juga senaman, sama ada semasa berbaring, duduk atau berdiri. Posisi tidur saya kebanyakannya dalam keadaan meniarap, mengiring ke kiri atau kanan,“ katanya, menambah setelah melakukan senaman, dadanya tidak lagi terasa sempit dan pernafasan bertambah baik.

Seorang lagi pesakit COVID-19 Khairul Anuar, 44, yang mempunyai sejarah menghidap diabetes dan darah tinggi, mengakui bahawa dengan melakukan senaman yang diajar ahli fisioterapi, pernafasannya bertambah lancar.

Beliau yang didiscaj daripada Hospital Selayang pada 29 Ogos lepas, berkata senaman itu dilakukan setiap hari selepas subuh dan pada sebelah petang.

“… saya akan melakukan senaman seperti mengangkat kaki, duduk di tepi katil serta berlatih bernafas selama 20 hingga 30 minit,” katanya, menambah selepas lima hari kuarantin di hospital, beliau tidak lagi bergantung pada bantuan oksigen.

“Kini, saya dan isteri (yang juga positif COVID-19) tetap melakukan senaman setiap hari, walaupun hanya sekadar 15 minit,” katanya yang menerima dos pertama vaksin pada 29 Ogos lepas.

Bagi Nazruddin Daud, 41, yang merupakan pesakit kategori 4 dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM, usahanya melakukan posisi meniarap selama lebih empat jam sehari berjaya meningkatkan kadar oksigen di dalam badannya hingga melebihi 90 peratus.

 “Selain itu, senaman berjalan selama 20 hingga 30 minit setiap hari dengan bantuan ahli fisioterapi menggunakan forearm walker semasa dirawat di ICU, membantu saya pulih dengan cepat dan badan terasa lebih bertenaga,” katanya yang  menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada perut atau sleeve gastrectomy pada 14 Ogos lepas.

Derita dan kesakitan akibat COVID-19 yang dialami Noor Hazila, Khairul dan Nazruddin mungkin turut dialami puluhan ribu daripada 1,979,698 pesakit COVID-19 (setakat 12 Sept) di negara ini yang pastinya memerlukan rawatan lanjutan fisioterapi walaupun setelah didiscaj daripada wad.

INTERVENSI AWAL & REHABILITASI PESAKIT COVID-19

Ketua Perkhidmatan Fisioterapi COVID-19 di HCTM Dr Katijjahbe Mohd Ali berkata ahli fisioterapi turut memainkan peranan penting dalam penjagaan dan rawatan pesakit COVID-19 di wad biasa mahupun ICU.

“Mobilisasi bukan sahaja dapat menguatkan sistem pernafasan pesakit, tetapi juga mempersiap mereka untuk bergerak dan berpakaian tanpa bantuan semasa di hospital,” kata pakar klinikal fisioterapi itu.

Katanya kira-kira 40 hingga 50 peratus pesakit COVID-19 akan mengalami kelemahan otot serta keletihan dengan ada yang keletihan melampau, manakala bagi pesakit yang mengalami jangkitan teruk (kategori 3 hingga 5), mereka boleh mengalami keletihan dan penurunan kadar oksigen dengan cepat hingga bawah 85 peratus, hanya kerana melakukan pergerakan kecil.

Bacaan paras oksigen normal ialah 95 hingga 100 peratus.

“Maka, rehabilitasi akan dirancang dengan teliti dan dijalankan secara beransur-ansur agar pesakit dapat bergerak secepat mungkin bagi menguatkan otot berbanding jika pesakit hanya dibiarkan berbaring berpanjangan di atas katil,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Katijjahbe berkata mobilisasi awal bermula dengan meminta pesakit menggerakkan tangan, kaki dan badan di atas katil, kemudian secara beransur-ansur diajar berdiri, berkawat setempat dan akhirnya mula berjalan, bergantung pada kemampuan.

“Melalui bantuan dan tunjuk ajar ahli fisioterapi, pesakit kebiasaannya berjaya duduk di bucu katil, menggunakan kerusi condong atau hoist untuk duduk tegak di kerusi dan berdiri menggunakan forearm walker atau bergerak beberapa langkah walaupun masih bergantung pada mesin ventilator.

“Ketika ini, ahli fisioterapi akan memantau petunjuk penting seperti tahap oksigen, kadar pernafasan dan tekanan darah pesakit untuk memastikan sebarang pergerakan dapat dilakukan dengan selamat dan efisien,” katanya, menambah untuk mengelak pesakit keletihan, sesi rawatan akan dipendekkan dari setengah jam kepada hanya 10 hingga 20 minit dan dilakukan secara lebih kerap.

Menurut Dr  Katijjahbe, HCTM melalui Unit Fisioterapi dengan kerjasama Pusat Jantung dan Paru-Paru, mengambil inisiatif menyediakan risalah khas bagi pesakit COVID-19 kekal aktif dengan slogan ‘Senaman Move it, Lawan COVID-19 #KITA MESTI MENANG yang boleh diakses melalui imbasan kod respons pantas atau QR.

RAWATAN TERAPI POSISI, LENDIR & HEMBUS

Dalam kes pesakit COVID-19 yang kritikal dengan mesin bantuan pernafasan dan dirawat di katil ICU, terapi posisi  iaitu posisi meniarap  amat disyorkan untuk selama 16 hingga 18 jam bagi meningkatkan kadar oksigen dalam darah, kata Dr Katijjahbe.

“Justeru, senario ini memerlukan sepasukan empat hingga lima anggota perubatan terlatih termasuk ahli fisioterapi untuk mengubah posisi pesakit yang tidak mampu bergerak,” katanya.

Beliau berkata bagi pesakit yang menggunakan ventilasi tidak invasif, kedudukan secara sedar tanpa bantuan amat disarankan untuk selama dua hingga lapan jam sehari.

“Bagi pesakit yang melakukan pembedahan pula, posisi seperti mengiring ke sisi, atau mengunjur ke depan juga disyorkan berdasarkan keadaan pesakit dan keselesaan untuk membantu fungsi paru-paru,” kata Dr Katijjahbe.

Beliau berkata teknik manual, senaman pernafasan, menghembus dan saliran autogenik juga akan dilakukan terhadap pesakit COVID-19 kerana kajian mendapati 34 peratus pesakit kritikal akan menghadapi masalah lendir berlebihan di dalam paru-paru dan mengalami batuk kering.

“Pembentukan lendir ini mungkin berlaku setelah pesakit dimasukkan ke ICU dan ahli fisioterapi boleh membantu mengurangkan lendir dan membersihkan saluran pernafasan melalui beberapa kaedah, sama ada secara manual seperti menepuk-nepuk pada bahagian dada pesakit dan menyedut keluar lendir menggunakan mesin penyedut,” katanya.

CABARAN MERAWAT PESAKIT COVID-19

Ketua Profesion Fisioterapi Kementerian Kesihatan  Nur Hidayah Ong Abdullah berkata disebabkan perawatan pesakit COVID-19 adalah baharu maka rawatan fisioterapi sangat berbeza dengan fisioterapi dada yang lazim, selain mencabar.

“Kami mendapati delirium (racauan) dan masalah kognitif terjadi agak tinggi dalam kalangan pesakit COVID-19 di ICU. Semasa sedasi, pesakit berada dalam keadaan separuh sedar, bukannya tidur, sekali gus menyumbang kepada disorientation (disorientasi) sepanjang berada di ICU,” katanya.

Selain itu, pesakit juga menghadapi tekanan perasaan dan kegelisahan kerana dirawat oleh pasukan perubatan yang tidak dapat dikenali berikutan pemakaian peralatan pelindungan diri (PPE).

“Cabaran lain termasuk pesakit warga emas, bisu, obes, mempunyai kondisi mental, strok dan pesakit yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap sakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis, buah pinggang dan mengalami kerosakan paru-paru serta ginjal.

“Pesakit kategori ini memerlukan lebih ramai ahli fisioterapi kerana mereka cenderung  berasa lemah, sukar bernafas dan disorientasi. Semua faktor ini mempengaruhi kemampuan pesakit untuk pulih dan ahli fisioterapi mesti menilai pemulihan mereka dengan teliti,” katanya yang juga Ketua Unit Fisioterapi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Menurut Nur Hidayah, bagi pesakit tahap 4 dan tahap 5 yang tidak menggunakan ventilator, penerangan ringkas serta padat harus diberikan dan ini juga merupakan cabaran besar buat ahli fisioterapi yang ingin mengajar dan memperkasa senaman pernafasan terkawal kerana pesakit dalam keadaan sesak nafas dan hipoksia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Fisioterapi Malaysia Prof Madya Dr Mohd Haidzir Abd Manaf, 40, berkata adalah amat penting rawatan fisioterapi dan rehabilitasi diteruskan oleh pesakit COVID-19 selepas mereka didiscaj.

“Ini termasuk rawatan susulan khas untuk pesakit kembali mendapatkan penjagaan pakar perubatan, tunjuk ajar dan khidmat nasihat termasuk daripada ahli fisioterapi,” katanya yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

LONG COVID 

Seiring dengan senario semasa dunia, Mohd Haidzir berkata bersempena sambutan Hari Fisioterapi Sedunia yang diraikan pada 8 Sept setiap tahun, Pertubuhan Fisioterapi Sedunia memilih ‘Rehabilitation and Long COVID and the role of physiotherapists in the treatment and management of people affected by Long COVID sebagai tema sambutan 2021.

Satu daripada 10 kes COVID-19 akan menghidapi Long COVID (COVID berpanjangan). Long COVID didefinisikan sebagai tanda dan gejala yang masih kekal selepas jangkitan COVID dalam jangka masa 12 minggu dan ke atas.

“Lazimnya, jangkitan COVID akan pulih dalam masa empat minggu, bagaimanapun tanda dan gejalanya akan berlarutan hingga 12 minggu dan ke atas,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata antara gejala Long COVID yang paling biasa ialah keletihan yang melampau, post-exertional symptom exacerbation selain mengalami kemerosotan daya ingatan dan tumpuan.

Justeru, sambutan tahun ini diraikan bagi memberikan peluang kepada ahli fisioterapi di seluruh dunia mengetengahkan kepentingan profesion ini dalam meningkatkan kesihatan orang awam yang terkesan oleh pandemik COVID-19,” katanya.

KEPERLUAN TELEFISIO DI PERINGKAT NASIONAL

Mohd Haidzir berkata disebabkan pendemik COVID-19 memerlukan amalan penjarakan fizikal, sewajarnya hospital di seluruh negara melaksanakan telefisioterapi sebagai kebiasaan baharu rawatan fisioterapi pada kadar segera.

“Pemulihan memerlukan masa yang agak lama, maka penggunaan teknologi seperti telefisioterapi disarankan bukan sahaja kepada pesakit COVID-19 malah kepada pesakit bukan COVID-19, golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya dan pesakit kronik yang dirawat oleh ahli fisioterapi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Persatuan Fisioterapi Malaysia mencadangkan satu pelan peringkat nasional dilaksanakan oleh kerajaan, merangkumi garis panduan untuk sistem janji temu secara dalam talian serta video bagi rawatan pemulihan secara konsisten kepada pesakit COVID-19 dan bukan pesakit COVID-19.

“Cara ini bukan sahaja dapat mengelakkan pesakit daripada risiko jangkitan wabak, tetapi turut membolehkan lebih ramai pesakit mendapat rawatan pemulihan fisioterapi secara berterusan walaupun mereka telah didiscaj daripada hospital,” katanya. - Bernama 

Advertisement