Anda di sini

Pusat jagaan kanak-kanak antara kluster baharu di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Pusat jagaan kanak-kanak di Kuching antara empat kluster yang diisytiharkan di Sarawak, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Kluster Jalan Upland Kuching itu merupakan kluster institusi dimana melibatkan pekerja dan penghuni sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Jalan Upland.

"Daripada 60 orang yang disaring, 51 daripadanya didapati positif termasuk kes indeks sementara sembilan kes didapati negatif dan satu kes baharu dilaporkan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, satu lagi kluster melibatkan institusi iaitu Kluster Laman Bong Ching, Kuching yang melibatkan pekerja dan penghuni sebuah pusat jagaan warga emas terletak di Taman Bong Ching di Jalan Rock.

"Daripada 78 orang yang disaring, 10 daripadanya didapati positif termasuk kes indeks manakala 67 individu didapati negatif dan seorang individu masih menunggu keputusan," katanya.

Jawatankuasa berkata satu lagi kluster turut diisytihar di Kuching hari ini, Kluster Kampung Segedup dan ia merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan penduduk sebuah perkampungan iaitu Kampung Segedup di Jalan Batu Kawa.

Katanya daripada 75 orang disaring, 12 daripadanya didapati positif termasuk kes indeks dan 31 individu didapati negatif sementara 32 individu masih menunggu keputusan dan tiga kes baharu dilaporkan pada hari ini.

"Sementara satu kluster lagi diisytihar adalah Kluster Jundak Saeh Merah di Subis melibatkan kluster komuniti yang dikesan di sebuah rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terletak di kawasan Batu Anchau, Subis.

"Daripada 35 orang yang disaring, 22 adalah didapati positif termasuk kes indeks sementara 12 didapati negatif, seorang individu masih menunggu keputusan dan lapan kes baharu dilaporkan pada hari ini," katanya.

Jawatankuasa berkata dua lagi kluster diisytiharkan tamat iaitu Kluster Jalan DBKU Kuching dan Kluster Jalan Tenaga, Kuching selepas tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas melibatkan kluster ini.

Ia sekali gus menjadikan sebanyak 139 kluster masih aktif di Sarawak setakat ini.

  • oleh
  • Advertisement