Anda di sini

Premis nombor ramalan, kelab lumba kuda dibenar beroperasi

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) bersetuju untuk membenarkan Agensi Nombor Ramalan dan Kelab Lumba Kuda beroperasi mulai 14 September 2021. 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kebenaran berkenaan adalah selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk membenarkan operator perjudian yang dilesenkan oleh MOF dan Kelab Lumba Kuda di bawah Lembaga Totalisator Malaysia untuk beroperasi mulai 15 September 2021.

"Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa semua pekerja dan pelanggan untuk aktiviti ini hendaklah telah lengkap divaksin.

"Pekerja dan pelanggan juga wajib berstatus risiko rendah COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Masidi berkata, Sabah pada 13 September 2021 telah merekodkan sejumlah 39 kes kematian disebabkan COVID-19.

Katanya, daripada jumlah itu enam kes berlaku di Sandakan dan Tawau, lima kes di Kota Belud dan Tuaran serta empat kes di Kota Kinabalu.

"Sementara itu, dua kes di Lahad Datu dan Papar manakala Sipitang, Kudat, Kinabatangan, Kunak, Pitas, Keningau, Penampang, Kalabakan serta Beluran masing-masing mencatatkan satu kes," katanya.

Dalam pada itu, Kluster Ladang Desa Jerocco 2, Kinabatangan turut direkodkan pada hari yang sama. Ia adalah kluster melibatkan tempat kerja di ladang sawit.

Katanya, kes indeks merupakan penyelia ladang, lelaki, warganegara Indonesia, 39, yang disahkan positif COVID-19 oleh klinik panel ladang setelah bergejala sejak 1 September 2021.

"Dengan keputusan RTK AG positif grading 100 peratus, kes indeks telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut. 

"Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati 54 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan positif COVID-19. Setakat 13 September 2021, 55 kes positif direkodkan dan semuanya  adalah kes baharu yang dilaporkan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement