Anda di sini

Liga M3 dibatalkan sekali lagi - Pengerusi AFL

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 terus menghantui pembangunan bola sepak amatur dan separuh profesional (semi-professional) negara, apabila Liga M3 2021 sekali lagi dibatalkan selepas keputusan sama dibuat tahun lepas.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata majoriti daripada pasukan yang bertanding telah bersetuju dengan pembatalan saingan divisyen ketiga itu dan berhasrat untuk mengalihkan fokus kepada kejohanan berkenaan musim depan.

“AFL pada dasarnya ingin meneruskan pertandingan dengan pilihan untuk menganjurkan liga itu secara gelembung sukan bermula November 2021 dan telah membentangkan kertas kerja kepada semua pasukan.

“Namun begitu, pembatalan diputuskan setelah mengambil kira segala faktor termasuk hal-hal pengoperasian, aspek keselamatan serta kekangan yang dihadapi oleh AFL dan pasukan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mohd Yusoff  berkata Liga M3 2022 dirancang untuk diadakan bermula Februari dengan mengekalkan penyertaan kesemua pasukan bagi musim ini.

FAM sebelum ini membatalkan saingan Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) buat kali kedua berturut-turut berikutan pandemik COVID-19. - Bernama 

Advertisement