Anda di sini

COVID-19: 18,053 kes sembuh, melebihi kes baharu

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jumlah kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus melebihi angka kes baharu untuk hari keempat berturut-turut apabila 18,053 kes dilaporkan berbanding 15,669 kes baharu direkodkan, setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu pulih daripada wabak berkenaan kini sebanyak 1,764,579 orang.

Beliau berkata terdapat 1,266 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 954 kes disahkan COVID-19 manakala 312 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 689 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 432 kes disahkan COVID-19 sementara 257 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes harian dilaporkan hari ini, 283 kes atau 1.8 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan), manakala baki 15,840 kes atau 98.2 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Daripada jumlah kes baharu itu juga, Dr Noor Hisham berkata 17 adalah kes import melibatkan tujuh warganegara, manakala 15,652 kes penularan dalam negara membabitkan 14,169 warganegara.

Beliau berkata sebanyak 29 kluster juga dikesan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan 14 kluster di tempat kerja, 12 kluster komuniti serta tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.98 dengan semua negeri mencatat Rt sekurang-kurangnya 1.0 kecuali Sabah, Kedah, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Sarawak adalah negeri paling tinggi mencatatkan nilai Rt iaitu 1.16 diikuti Terengganu (1.08), Johor dan Perak masing-masing 1.02, Pahang (1.01), manakala Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis masing-masing 1.00.

Bagi data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my tengah malam ini. - BERNAMA

Advertisement