Anda di sini

Ugut bapa saudara guna parang, penganggur didenda RM2,700

Advertisement
 

MIRI: Seorang penganggur didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap bapa saudaranya.
    
Muhamad Faizal Nawi, 28, dari Desa Murni Fasa 2, Bandar Baru Permyjaya di sini yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan telah membuat pengakuan bersalahnya atas tuduhan itu di hadapan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, sekitar jam 10 malam, 8 September lalu, tertuduh telah mengamuk dengan membawa sebilah parang dan ingin melibas parang tersebut ke arah pengadu sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
    
Berikutan itu, pengadu yang bimbang akan keselamatan diri serta ahli keluarga yang lain kemudian tampil membuat laporan polis memandangkan kejadian seumpama itu sering berlaku.
    
Hasil siasatan lanjut polis, tertuduh mengaku telah berjumpa pengadu dengan membawa sebilah parang berserta sarung menyebabkan pengadu berasa ketakutan.
    
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement