Anda di sini

STU mahu ibu bapa beri sokongan kepada anak-anak untuk ke sekolah 

Advertisement
 

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyeru kepada semua ibu bapa agar memberi sokongan dan motivasi kepada anak-anak agar mereka tidak keberatan untuk meneruskan persekolahan secara bersemuka.

Presiden STU Adam Prakash Abdullah (gambar) berkata, pihaknya berharap dengan sesi persekolahan diteruskan nanti, lebih ramai pelajar akan dapat menerima vaksin bagi mereka yang belum berkesempatan lagi. 

"Pihak guru juga diharap akan membantu para pelajar dalam usaha mereka kembali ke sekolah dan bersabar dalam memastikan pelajar kita menyesuaikan diri dengan disiplin sekolah semula. Cabaran besar menunggu kita dan kita akan mengatasinya bersama," katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas tentang pembukaan sekolah secara berperingkat. 

Tambahnya, STU juga berharap agar semua pihak yang terlibat dengan pembukaan sekolah nanti telah mendapatkan dos vaksin yang lengkap agar menjamin keselamatan semua.

"STU menyambut baik pengumuman yang telah dibuat Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkenaan pembukaan sekolah Oktober nanti. 

"Ini merupakan satu perancangan yang baik untuk memungkinkan para pelajar dan guru kembali ke sekolah setelah sekian lama tidak ke sekolah," jelasnya. 

Dalam pada itu, Adam memberitahu, STU juga bersetuju dengan cadangan bahawa sekolah akan beroperasi pada kadar 50 peratus enrolmen sekolah dan juga pada kadar 50 peratus bilangan pelajar dalam bilik darjah. 

Tegasnya, ini akan memudahkan nanti urusan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa pengajaran dan pembelajaran.

Katanya lagi, STU menghargai usaha KPM dalam memastikan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam di benarkan kembali ke sekolah terlebih dahulu dengan di ikuti kelas-kelas lain secara bergilir. 

"Kita percaya bahawa para guru akan memanfaatkan masa ini untuk menyediakan para pelajar menghadapi pelajaran dan peperiksaan mereka. 

"Pelajar juga boleh menggunakan waktu persekolahan ini untuk menyelesaikan banyak masalah pembelajaran yang telah mereka lalui semasa PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah)," ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement