Anda di sini

Rentas daerah masih tidak dibenarkan di Sabah

Advertisement
IDIRS
IDIRS

KOTA KINABALU: Sebarang pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan di negeri ini memandangkan Sabah masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, kebenaran rentas daerah hanya diberikan untuk hal kecemasan, pekerjaan (dengan surat majikan), dan temujanji vaksinasi COVID-19.

Selain itu katanya, urusan berkaitan perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin melawat anak di bawah umur 18 tahun juga dibenarkan.

Menurutnya, baru-baru ini tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp berkaitan notis kebenaran rentas daerah di Sabah dan kapasiti kenderaan yang dibenarkan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang ditularkan mengenai notis kebenaran terbabit.

"Hasil siasatan mendapati notis berkenaan adalah notis lama yang dikeluarkan pada 6 Mei 2020 dan disebarkan semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang lengkap vaksin turut dibenarkan keluar dalam daerah sama berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan apa juga berita yang tidak sahih atau palsu.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan akan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 dan penjara setahun.
 

Advertisement