Anda di sini

PM setuju penubuhan hospital medan di Tawau dipercepatkan

Advertisement
 Hajiji (kiri), Safar (kanan) bersama agensi berkaitan yang menyertai mesyuarat berkenaan.
MESYUARAT: Hajiji (kiri), Safar (kanan) bersama agensi berkaitan yang menyertai mesyuarat berkenaan.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan hospital medan di Tawau bagi membantu negeri ini dalam menangani pandemik COVID-19.

Keputusan itu dicapai sebagai tindak balas kepada permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan yang dijalankan secara maya hari ini.

Terdahulu Hajiji memaklumkan mengenai pemberhentian operasi hospital medan berkenaan yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, pembukaan semula hospital medan di Tawau sangat mendesak berikutan kerja menaik taraf Hospital Daerah Tawau hanya 60 peratus siap.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 302 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dikenal pasti di Sabah dan 14 agensi yang melibatkan 6,800 anggota diaktifkan untuk persediaan musim tengkujuh ini.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri diaktifkan berikutan beberapa kes bencana alam yang melanda negeri ini mengakibatkan kerosakan besar infrastruktur dan harta benda di beberapa daerah seperti Beaufort dan Penampang serta kawasan lain di seluruh Sabah. 

"Dianggarkan kira-kira RM147 juta peruntukan diperlukan untuk memperbaiki kerosakan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat berharap kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan bantuan yang diperlukan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
 

  • oleh
  • Advertisement