Anda di sini

Pembangunan lestari agenda utama kerajaan Sarawak

Advertisement
Abang Johari ketika berucap sempena pada majlis penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) Ke-9 hari ini. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan Sarawak
Abang Johari ketika berucap sempena pada majlis penyampaian CMEA ke-9 hari ini. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING: Pembangunan lestari sering menjadi agenda utama kerajaan Sarawak dalam usaha mencapai keseimbangan antara keperluan untuk pembangunan dan menjaga kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg 

Menurutnya, ia dibuktikan menerusi Rang Undang-Undang Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019 yang membolehkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mengukuhkan mekanisme perundangan dan perlindungan kualiti persekitaran di negeri ini.

“Dengan pindaan itu, aktiviti pembakaran terbuka di dalam kawasan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi tujuan komersial kini diatur untuk memastikan bahawa pelaksanaan projek sosioekonomi dan program transformasi di negeri ini dijalankan secara berkesinambungan. 

“Ia juga meningkatkan denda kepada RM100,000 untuk semua kesalahan alam sekitar seperti pencemaran tanah, kawasan tadahan air dan pembakaran terbuka," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) ke-9 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pindaan ordinan itu juga merangkumi pengkategorian kakitangan NREB menjadi pegawai awam di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974 bagi membolehkan pemindahan kuasa penguatkuasaan dari Jabatan Alam Sekitar Malaysia. 

“Penyemakan ini perlu dilakukan bagi Sarawak untuk membuat persiapan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu Pemindahan Autonomi, untuk menerima tanggungjawab tambahan dalam menguruskan hal-hal persekitaran yang sedang berlaku di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling Persekutuan 1974,” katanya 

Sehubungan itu, beliau menggesa NREB agar lebih bersedia dan merancang strategi untuk memetakan hala tujunya bagi tempoh 10 akan datang dengan sumber yang mencukupi dan tenaga kerja yang kompeten.

Beliau menambah ia juga perlu disokong oleh undang-undang, peraturan yang berkesan dan dapat disesuaikan, garis panduan dan peraturan serta dilengkapi dengan sistem teknologi terkini untuk memainkan peranan dan tanggungjawab yang dimandatkan secara berkesan.

“Tidak seperti bidang lain yang mana usaha dapat dilakukan dalam pelbagai cara pada bila-bila masa, perkara-perkara mengenai persekitaran harus dirancang dengan baik, konsisten dan bersepadu.

"Disebabkan itu, semua sektor industri, kerajaan dan masyarakat setempat harus memberi sokongan dan bekerjasama untuk memastikan setiap orang saling melengkapi dalam usaha menjaga alam sekitar untuk kepentingan generasi sekarang dan akan datang," katanya.

Abang Johari berkata, pentadbirannya akan meneruskan Agenda Transformasi ke arah menjadikan Sarawak menjadi negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Kita akan fokus dengan tanggungjawab moral dan sosial untuk melindungi persekitaran serta mengurus dan memulihara sumber semula jadi secara berterusan,” katanya.

Mengenai CMEA, Abang Johari berkata, acara itu sangat bagus untuk menggalakkan sektor perniagaan, perindustrian, swasta dan awam di Sarawak agar mencapai kemajuan dengan mengutamakan pengurusan alam sekitar yang baik.

"Sektor perniagaan dan perindustrian adalah sumber utama pelaburan dan pemacu pertumbuhan ekonomi negeri. Penghargaan ini memberi peluang untuk pengiktirafan masyarakat terhadap pemuliharaan dan kepemimpinan alam sekitar.

"Usahawan dan sektor korporat harus menganggap CMEA yang dijalankan secara dwitahunan ini sebagai perjalanan mereka dalam pematuhan dan pengurusan alam sekitar," katanya.

  • oleh
  • Advertisement