Anda di sini

Pelabur asing kekal pembeli bersih untuk lima minggu berturut-turut - MIDF Research

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan untuk minggu berakhir 10 Sept, 2021, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM433.16 juta berbanding RM786.42 juta pada minggu sebelumnya.

Menurut MIDF Research, ini adalah minggu pembelian bersih kelima berturut-turut oleh pelabur asing sejak minggu berakhir 13 Ogos, 2021.

"Pelabur asing dilihat telah secara beransur-ansur mengurangkan penjualan bersihnya daripada RM6.01 bilion berdasarkan dari awal tahun sehingga 9 Ogos, 2021," katanya dalam laporan mengenai aliran dana mingguannya hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata pelabur asing adalah pembeli bersih hampir setiap hari minggu urus niaga kecuali pada hari Khamis, dengan aliran masuk asing tertinggi dicatatkan pada Rabu iaitu sebanyak RM207.19 juta sementara aliran masuk paling sedikit ialah pada Isnin berjumlah RM72.18 juta.

Pada Khamis, penjualan bersih oleh pelabur asing berjumlah RM62.95 juta, katanya.

Peruncit pula merupakan pembeli bersih setiap hari, menyaksikan pembelian bersih terbesar dicatatkan pada hari Khamis sebanyak RM129.62 juta dan paling rendah pada Isnin berjumlah RM11.10 juta, kata MIDF Research.

"Secara kumulatif untuk minggu urus niaga berkenaan, peruncit membeli ekuiti bersih bernilai RM278.59 juta di Bursa Malaysia," katanya.

Sementara itu, ia berkata institusi tempatan mencatat penjualan bersih mingguan terkumpul sebanyak RM711.96 juta.

"Institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari pada urus niaga minggu lepas dengan penjualan bersih terbesar dilihat pada Rabu dengan jumlah mencecah sehingga RM243.26 juta, sementara terendah pada hari Khamis sebanyak RM66.88 juta,” katanya.

MIDF Research menyatakan peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan bernilai RM9.83 bilion bermula awal tahun sehingga kini sementara institusi tempatan dan pelabur asing pula adalah penjual bersih, masing-masing berjumlah RM6.04 bilion dan RM3.79 bilion.

Dari segi penyertaan, ia berkata pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing 2.49 peratus, -1.15 peratus dan -29.79 peratus dalam nilai purata perdagangan harian (ADTV). - Bernama 

Advertisement