Anda di sini

'Kami mohon maaf'

Advertisement
 

KUCHING: Pengurusan Sarawak United FC memohon maaf atas insiden yang berlalu melibatkan pegawai dan pemain pasukan itu ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan pada Jumaat lalu. 

Pengerusi Sarawak United Dato Posa Majais berkata, permohonan maaf itu ditujukan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak-pihak yang terlibat dalam penganjuran perlawanan pada malam tersebut. 

"Pihak pengurusan Sarawak United ingin membuat kenyataan maaf susulan insiden yang berlaku di antara pegawai, pemain dan pengadil, Mohd Kamil Zakaria Ismail sebaik perlawanan Sarawak United FC dengan Negeri Sembilan FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras tamat pada Jumaat lalu.

"Buat masa ini pihak kami tidak dapat memberikan apa-apa ulasan berkenaan perkara ini memandangkan ia masih dalam penilaian dan siasatan," katanya dalam kenyataan rasmi hari ini. 

Jelas Posa, keputusan berkenaan perkara ini mungkin akan diketahui dalam masa terdekat. 

"Pihak kami juga dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada MFL dan FAM untuk menyiasat individu-individu yang terlibat dan di pihak Sarawak United mahupun di pihak lain. 

"Sebagai pasukan yang mempunyai integriti, kami juga mahu setiap perlawanan itu disertai dengan baik dan adil agar setiap kekalahan dan kemenangan dapat diterima dengan baik kedua-dua pasukan," tegasnya. 

Justeru, beliau berharap permohonan maaf daripada pihak pengurusan Sarawak United dapat meredakan sedikit keadaan dan memberikan sedikit peluang kepada pasukan itu untuk menjadikan ia satu pengajaran kepada pasukan mereka. 

"Seribu kemaafan juga kami tujukan kepada penyokong kami atas kejadian ini yang pastinya sedikit sebanyak mengundang emosi mereka. 

"Kami berharap pihak MFL dan FAM mengambil pertimbangan dan keputusan secara telus berkaitan insiden ini," ujarnya. 
 

Advertisement