Anda di sini

Jangan cepat terleka, puas hati terhadap usaha kekang COVID-19, titah Agong

Advertisement
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan agar semua pihak tidak cepat terleka dan berpuas hati dalam usaha mengekang COVID-19 di negara ini.

Seri Paduka bertitah usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan, terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.

“Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Menyedari hakikat itu, Seri Paduka bertitah strategi ‘whole-of-society effort’ perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.

Al-Sultan Abdullah bertitah negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.

Yang di-Pertuan Agong nyata amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik itu serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2.

“Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia, pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi pendekatan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat.

Sehubungan itu Seri Paduka menyeru seluruh rakyat perlu sedar akan bahayanya virus COVID-19 khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.

Justeru Yang di-Pertuan Agong bertitah rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard, pada setiap masa.

“Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga meminta kerajaan memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing, agar penularan varian baharu dapat dikawal.

Pada masa yang sama Seri Paduka bertitah kawalan sempadan negara perlu diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Seterusnya ketua negara itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, China dan Emiriah Arab Bersatu, di atas sumbangan vaksin COVID-19 kepada negara ini.

“Beta menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa, ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima daripada negara-negara lain,” titah Seri Paduka. - Bernama 

Advertisement