Anda di sini

Curi susu hendak beli dadah

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki mencuri tiga tin susu untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli dadah dari sebuah kedai di kawasan Miri Times Square baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis Hakemal Hawari menjelaskan susu dicuri suspek merupakan susu formula untuk orang dewasa dan bukan untuk kanak-kanak seperti ditulis beberapa organisasi media.

"Suspek merupakan seorang penagih tegar dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri. Manakala tujuan utama suspek mencuri bukanlah untuk menyara keluarga tetapi untuk dijual bagi mendapatkan wang untuknya membeli dadah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu menurut Hakemal, polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia boleh menganggu siasatan pihak polis.

"Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan kes ini. Ingin ditegaskan mencuri adalah salah di sisi undang-undang dan kesempitan hidup bukanlah satu alasan yang sah untuk mencuri," ujar beliau.

Terdahulu, susek yang berusia 24 tahun telah ditangkap sekitar jam 7. 55 malam, 11 September lalu di sebuah rumah di Jalan Maigold.

Manakala sekitar jam 11.55 pagi Ahad di sebuah premis di Jalan Bendahara, polis turut menahan seorang peniaga wanita berusia 61 tahun kerana disyaki membeli susu yang dicuri suspek.

  • oleh
  • Advertisement