Anda di sini

COVID-19: Kes baharu turun, rekod 16,073 kes hari ini 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16,073 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara setakat 12 tengah hari ini, menurun berbanding 19,198 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi hantaran di Twitter dan Facebook, beliau memaklumkan perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini, kini menghampiri angka dua juta dengan mencatatkan 1,995,771 kes.

Sementara itu, Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi sejak minggu lepas dengan 3,522 kes hari ini, namun menunjukkan penurunan berbanding 5,291 semalam.

Johor pula mencatat kes harian kedua tertinggi dengan 2,030, diikuti Selangor (1,947); Sabah (1,649); Pulau Pinang (1,243); Kedah (1,191); Kelantan (1,070) dan Perak (1,011).

Negeri yang merekodkan kes harian baharu di bawah empat angka adalah Pahang (878); Terengganu (704); Kuala Lumpur (398); Melaka (206); Negeri Sembilan (156); Perlis (41); Putrajaya (16) dan Labuan (11).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital COVID-19 di seluruh negara setakat semalam ialah 83 peratus atau 1,293 daripada 1,558, manakala katil bukan ICU ialah 75 peratus (13,026) daripada 17,370 katil. - Bernama 

Advertisement