Anda di sini

Anggota RELA maut nahas dengan lori

Advertisement
Mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia. - Gambar ihsan polis
Mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia. - Gambar ihsan polis

BINTULU: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 20 Jalan Bintulu-Tatau sekitar jam 12.15 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bintulu Inspektor Jeffery Jembol berkata, mangsa maut yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dikenali sebagai Marcos Ason, 33.

"Pembonceng motosikal yang merupakan isteri mangsa juga seorang anggota RELA berumur 40 tahun hanya mengalami kecederaan pada bahagian kaki," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa sejurus itu katanya dikejarkan ke Hospital Bintulu dengan menggunakan ambulans, namun disahkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di wad kecemasan.

Pemandu lori terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan semasa kejadian, mangsa dan isterinya dikatakan datang dari arah Tatau menuju ke Bintulu sebelum bertembung dengan lori terbabit yang dari arah Bintulu.

"Sampai di laluan lurus, motosikal yang dinaiki mangsa dan isterinya itu tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki terbabit," jelasnya.

Kes ini ujarnya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement