Anda di sini

Voice Stars program realiti pertama dalam talian tampilkan peserta OKU

Advertisement
 

KUCHING: Jawatankuasa Pembangunan Belia di bawah Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) akan menganjurkan pertandingan nyanyian dalam talian Voice Stars untuk golongan orang kurang upaya (OKU). 

Menurut jurucakap penganjur, pertandingan julung kalinya ini akan menyaksikan 15 peserta dari tiga buah negara Malaysia, Indonesia dan Brunei berentap selama lapan minggu bermula 9 Oktober ini. 

“Voice Stars merupakan rancangan berbentuk realiti dalam talian bertujuan menyediakan platform kepada golongan belia OKU penglihatan dan OKU kategori lain bertanding merebut hadiah ditawarkan disamping mencungkil bakat berpotensi. 

“Selain itu pertandingan ini juga bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai keupayaan OKU penglihatan lebih-lebih lagi ketika saat sukar pandemik COVID-19 ini,” katanya. 

Membeli sambil menyumbang bagi menjayakan program nyanyian realiti pertama Voice Stars untuk golongan OKU.
Membeli sambil menyumbang bagi menjayakan program nyanyian realiti pertama Voice Stars untuk golongan OKU.

Dalam pada itu, pertandingan ini turut mendapat kerjasama Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dan Leo Club of Kuala Lumpur Central dan ditaja oleh Abella Trigona (penaja utama), Nawarna Enterprise, CKT Legend dan Kaban Music Production (KMP).

Pertandingan ini akan disiarkan menerusi laman Facebook KLPAC setiap hari Sabtu bermula jam 9 malam hingga 11 malam dimana 15 peserta yang berjaya melepasi saringan awal akan berentap selama lapan minggu bermula 9 Oktober ini. 

Konsert akhir dijadual pada 27 November dengan hanya lima perserta akhir akan dipilih bagi merebut gelaran juara Voice Stars pertama. 

Bagi menjayakan rancangan ini, Leo Club of KL Central akan membuat kutipan dana dengan menjual produk Bee Squad Bangsar South iaitu madu Tualang asli yang boleh ditempah dengan nombor yang tertera di poster, +60126796249 (Sharifah) atau melalui pautan berikut: https://forms.gle/EnGXV5nsgTmdCW9h8.

Penganjur turut mengalu-alukan mana-mana individu atau pihak yang ingin menyumbang dalam bentuk wang tunai boleh menyalur kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia menerusi akaun nombor 8000821737 (CIMB Bank). 

Setiap sumbangan katanya perlu disertakan dengan rujukan penerimaan atas nama Voice Stars dan sila e-mel resit ke [email protected]

Advertisement