Anda di sini

Penggunaan RTK Antigen diperluas, strategi mitigasi dirancang tangani peningkatan penularan COVID-19 di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) akan menjalankan penambahbaikan mengikut situasi semasa termasuk memperluaskan penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen di seluruh negeri.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed (gambar) dalam kenyataan media hari ini, berkata langkah penambahbaikan itu perlu berikutan kes harian COVID-19 melebihi angka tiga ribu bermula 5 September 2021.

“Langkah-langkah penambahbaikan dijalankan mengikut situasi semasa. Penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan dengan lebih meluas di seluruh Sarawak bagi mengenal pasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan dengan pantas,” jelasnya.

Katanya lagi, perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat setelah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Dr Mohamed Sapian berkata hari ini Sarawak merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu, 5,291 menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 156,798 kes.

Menurutnya jumlah 5,291 kes baharu hari ini adalah dari 28,065 keputusan sampel yang diuji dengan kadar positif adalah 18.8 peratus.

“Kadar ini meningkat dari purata 14.5 peratus. Ini menunjukkan kejadian penularan ini telah berlaku secara meluas dalam komuniti. 

“Peningkatan kes harian telah menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutamanya di lokaliti yang mempunyai kluster aktif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Mohamed Sapian berkata bilangan sampel yang tinggi ini telah membebankan kapasiti makmal sedia ada dan justeru memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian (turn-around-time) walaupun melalui penyumberluaran yang telah dilaksanakan. 

Ini ujarnya mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperolehi keputusan, semua kontak yang berisiko diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam komuniti.

Beliau menambah daripada jumlah 5,291 kes baharu yang dikesan pada hari ini, 99.9 peratus kes berada pada tahap kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (mempunyai gejala yang ringan) semasa dikesan positif. 

Justeru ujarnya JKNS sedang dan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi COVID-19 di Sarawak. 

Beliau juga menyeru orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang betul iaitu pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal pada setiap masa.

“Bersama-samalah bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian perebakan jangkitan COVID-19 ini,” tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement