Anda di sini

FAS, SSC jalin kerjasama perbanyakkan kursus lahirkan jurulatih bola sepak

Advertisement
FAS dan SSC menganjurkan Kursus Kejurulatihan Bolasepak FAM Lesen D 2021 dari 27 September hingga 2 Oktober 2021
FAS dan SSC menganjurkan Kursus Kejurulatihan Bolasepak FAM Lesen D 2021 dari 27 September hingga 2 Oktober 2021

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terus komited untuk bekerjasama dengan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dengan memperbanyakkan aktiviti dan kursus kejurulatihan di negeri ini.

Timbalan Presiden FAS, Saif Jubaidi berkata, program ini penting bagi melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan terutama di bahagian utara Sarawak.

“Ini adalah selaras dengan tujuan dan matlamat ke arah persediaan jurulatih untuk di tempatkan di bawah aktiviti dan program-program pembangunan SSC pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Saif berkata, FAS juga akan memastikan program-program seperti ini terus dijalankan di bahagian tengah dan selatan Sarawak.

Menurutnya, program seperti ini telah lama dirancang bersama pihak SSC sepanjang tahun ini dan telah mendapat kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Namun, keadaan pandemik semasa menyebabkan pihak kami terpaksa akur untuk menangguhkan banyak aktiviti pembangunan yang telah dirancang sejak awal tahun lagi. 

"Untuk kali ini, kita membuka peluang kepada yang berminat untuk mengikuti Kursus Kejurulatihan Bolasepak FAM Lesen D 2021 dengan kerjasama SSC dari 27 September hingga 2 Oktober di Stadium Bandaraya Miri," ujarnya.

Saif yang juga Pengerusi Pembangunan Bola Sepak Sarawak menambah, peluang mengikuti kursus tersebut hanya dibuka terhad kepada 25 orang sahaja dan tarikh tutup pendaftaran pada 21 September 2021.

Insruktur Kursus Kejurulatihan ini akan dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman iaitu Wan Jamak Wan Hassan dengan dibantu oleh Pengiran Bala.

Kedua-dua individu ini mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan dan nama mereka tidak asing dalam kancah bola sepak tempatan.

Bagi sesiapa yang berminat atau mempunyai pertanyaan lanjut boleh hubungi di talian 013-8359218 (Nazri), 013-8265292 (David Usop) atau 017-8448479 (Pengiran Bala).

Advertisement