Anda di sini

Biden hadiri upacara peringati tragedi 9/11

Advertisement
Ahli keluarga dan rakan membawa gambar mangsa korban peristiwa 9/11 ketika hadir upacara memperingati tragedi itu di World Trade Center, New York. - Gambar AFP
Ahli keluarga dan rakan membawa gambar mangsa korban peristiwa 9/11 ketika hadir upacara memperingati tragedi itu di World Trade Center, New York. - Gambar AFP

WASHINGTON: Presiden Joe Biden pada Sabtu menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Pentagon untuk memperingati mangsa korban peristiwa 9/11 sempena ulang tahun ke-20 serangan pengganas itu.

Turut hadir pada upacara itu isteri Presiden Jill Biden, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin dan  Panglima Tentera Jeneral Mark Milley, serta Naib Presiden Amerika Syarikat  (AS) Kamala Harris dan suami Douglas Emhoff.

Terdahulu, Biden dan isteri melawat bandar Shanksville, Pennsylvania dan Ground Zero di New York City. Presiden tidak memberikan sebarang ucapan ketika melawat ketiga-tiga lokasi serangan, lapor Sputnik.

Pada awal bulan ini, Biden menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan FBI terhadap insiden itu.

Di bawah arahan itu, Jabatan Kehakiman dan agensi persekutuan lain diminta mengkaji dokumen dan melihat beberapa maklumat yang mungkin boleh dikongsi kepada umum.

Sejak bertahun-tahun sejumlah keluarga mangsa serangan 9/11 mendesak kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai tragedi itu.

Pada 11 September 2001, serangan pengganas didakwa dilakukan anggota Al Qaeda merampas empat pesawat, dua daripadanya merempuh bangunan World Trade Center di New York.

Sementara satu lagi pesawat merempuh bangunan Pentagon berhampiran Washington, DC manakala pesawat keempat terhempas di Pennsylvania. Kejadian itu meragut kira-kira 3,000 nyawa. - Bernama 

Advertisement