Anda di sini

Sarawak akan semak semula SOP kemasukan negeri setelah capai fasa endemik

Advertisement
Abang Johari semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin Dewan Suarah Sri Aman hari ini. -Gambar sumbangan UKAS
Abang Johari semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin Dewan Suarah Sri Aman hari ini. -Gambar sumbangan UKAS

Sri Aman: Kerajaan Sarawak akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kemasukan ke negeri ini apabila Sarawak sudah memasuki fasa endemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata buat masa sekarang, kerajaan masih memantau keadaan pandemik di Sarawak.

“Namun, apabila kita sudah mencapai tahap endemik di mana Kementerian Kesihatan (KKM) kata sedemikian, maka kita akan menyemak semula SOP untuk kemasukan ke negeri ini.

“Buat  masa sekarang, kita masih mengekalkan SOP sedia ada termasuk  kuarantin selama 14 hari bagi mereka yang memasuki Sarawak," katanya pada sidang media sempena lawatan beliau ke Sri Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, Abang Johari mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Dewan Suarah Sri Aman dan Projek Tebingan Sungai Sri Aman di sini hari ini.

Ditanya bila sektor ekonomi di Sarawak dapat dibuka sepenuhnya, beliau berkata, ia hanya dapat dilakukan apabila program vaksinasi sudah lengkap termasuk daya ketahanan masyarakat terhadap virus ini sudah meningkat dan kadar jangkitan menurun.

“Apabila keadaan ini berlaku, maka sudah tentu kita akan membuka semula sektor ekonomi kita nanti.

“Misalan, saya baru saja melawat Projek Tebingan Sungai Sri Aman dan ini bermakna sektor pembinaan kita boleh buka dan selain itu, sektor makanan juga dibuka tetapi masih ikut SOP,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan semua bahagian sedang melaksanakan program imunisasi untuk remaja, adalah diharapkan penghujung tahun ini Sarawak dapat mencapai imunisasi kelompok.

“Malah saya juga nak tekankan di sini, kita harus hidup bersama COVID-19. Dengan kes-kes sekarang yang kebanyakannya kategori satu iaitu tidak bergejala dan tidak berbahaya, Sarawak akan beralih ke fasa endemik. 

“Apa yang perlu kita lakukan adalah kita harus menjaga diri sendiri dan patuhi SOP. Bagaimanapun ujian saringan akan tetap dijalankan begitu juga kes-kes positif akan direkodkan,” jelasnya sambil mencadangkan orang ramai untuk sentiasa membuat pemeriksaan kendiri menggunakan kit ujian pantas antigen COVID-19.

Mengenai program vaksinasi di Sri Aman, Abang Johari berkata, sebanyak tujuh sekolah melibatkan 2,179 pelajar berumur 16 hingga 17 tahun akan menerima vaksin COVID-19 mulai 8 September.

Katanya, setakat  9 September lalu, seramai 840 remaja telah menerima dos pertama vaksinasi COVID-19 di Sri Aman melibatkan empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili, SMK Lubok Antu, SMK Melugu dan SMK St Luke.

“(Dan) pada hari ini, seramai 615 remaja akan diberi suntikan vaksin COVID-19 yang terdiri daripada pelajar dari dua buah sekolah menengah.

"Saya percaya dengan program vaksinasi, kita dapat melindungi remaja kita yang akan memulakan persekolahan secara bersemuka tidak lama lagi,”katanya.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memberi vaksin kepada remaja dalam kumpulan umur tersebut sebelum sekolah dibuka semula pada 3 Oktober.

Bagi pemberian imunisasi COVID-19 untuk remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang sihat, katanya, ia dijadualkan pada penghujung bulan September mengikut bekalan stok vaksin yang akan diterima.
 

  • oleh
  • Advertisement