Anda di sini

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo hadapi pelbagai cabaran besar

Advertisement
Fadillah bersama rombongan memantau kerja-kerja dan pembinaan di tapak jejambat Bintangor.
Fadillah bersama rombongan memantau kerja-kerja dan pembinaan di tapak jejambat Bintangor.

SARIKEI: Usaha untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo mempunyai cabaran yang amat besar terutama dalam memastikan ia siap sepenuhnya menjelang tahun 2022.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan negara yang menghadapi pandemik COVID-19 dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) telah banyak memberi cabaran dan pengaruh terhadap perkembangan projek pembinaan Pan Borneo.

"Berdasarkan pemantauan dan kajian, kita mendapati cabaran yang dihadapi oleh para kontraktor yang terlibat dengan pembinaan ini adalah kekurangan tenaga kerja atau buruh untuk menampung keperluan harian dalam pembinaan lebuh raya ini.

"Selain itu, kekurangan bahan binaan seperti pasir, simen dan lain-lain keperluan turut mempengaruhi perkara ini.

"Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan negeri dan persekutuan bersama dengan Jabatan Kerja Raya, amnya, telah membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terhadap perkara ini," katanya pada sidang media ketika mengadakan Pemantauan ke Kontrak Pakej Kerja (WPC) 06, 07, 08, 09, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Tapak flyover Bintangor, Pakej Kerja WPC 06, hari ini.

Mengulas berkaitan dengan isu kekurangan tenaga kerja, Fadillah berkata, kini kerajaan sedang berusaha dan mengkaji sama ada untuk mengambil pekerja dari luar negara untuk mengisi kekosongan tersebut.

Namun demikian katanya, ia harus diseimbangkan dengan keselamatan dan tahap kesihatan negara terutama pada dunia menghadapi pandemik COVID-19.

Langkah ini katanya, difokuskan kepada bidang kerja yang kurang mendapat sambutan oleh rakyat negara ini.

"Ia juga merangkumi mencari tenaga kerja separuh mahir dan mahir untuk mengisi kekosongan yang ada dengan objetif untuk memastikan projek pembinaan jalan Pan Borneo selepas ini dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Dalam masa yang sama juga, Fadillah turut mengingatkan masyarakat yang bakal menikmati kemudahan ini supaya mempertingkatkan tahap keselamatan diri.

"Patuhi peraturan yang ada dan jangan  bertindak mengikut perasaan apabila memandu atau menggunakan jalan di Pan Borneo ini," tegasnya lagi.
 

Advertisement