Anda di sini

Pemain positif COVID-19, perlawanan Kuching City dan Kelantan United FC ditunda

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Aksi Liga Premier melibatkan Kuching City FC dan Kelantan United FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di sini hari ini terpaksa ditunda ke tarikh lain susulan dua pemain Kelantan United didapati positif COVID-19.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan keputusan itu dibuat atas persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL apabila mendapati ujian calitan kedua-dua pemain adalah positif. 

"Selaras dengan prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan, pegawai dan pemain pasukan Kelantan United akan dikuarantin serta tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti dalam tempoh tersebut bermula hari ini.

"Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tindakan selanjutnya berhubung status perlawanan tersebut dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu. 

Ketika ini, Kuching City berada di tangga kelapan dengan 21 mata dan perlu menang atau sekurang-kurangnya seri dengan Kelantan United untuk layak ke saingan Piala Malaysia. - BERNAMA
 

Advertisement