Anda di sini

Pasaran getah diunjur diniaga dalam jajaran kecil, lebih kepada aliran menurun minggu depan

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran sempit minggu depan dengan pergerakan menjurus kepada trend menurun berikutan permintaan yang lembap untuk komoditi itu.

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata  permintaan untuk komoditi itu diunjurkan kekal pada paras semasa memandangkan proses pemulihan dunia bergerak lebih perlahan daripada jangkaan.

"Tanpa pergerakan orang dan industri dalam kuantum yang diinginkan di seluruh dunia, kami menjangkakan pergerakan pasaran dalam jajaran sempit akan berterusan minggu depan, malah mungkin bersambung ke minggu-minggu berikutnya,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau menambah pengeluaran getah terjejas oleh hujan lebat di wilayah pengeluaran getah.

"Pembuat sarung tangan adalah pengguna terbesar lateks pukal. Permintaan lateks pukal oleh pembuat sarung tangan masih tidak bergerak terutama ketika dunia mulai pulih daripada pandemik COVID-19,” katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran ditutup hampir rendah diseret oleh prestasi yang lebih lemah di pasaran niaga hadapan getah serantau yang tertekan oleh permintaan getah asli yang menurun dan data pekerjaan AS yang bercampur-campur.

Berdasarkan mingguan pula, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (MRB) untuk SMR 20 turun 10.5 sen kepada 657.0 sen sekilogram (kg) sementara lateks pukal menyusut lima sen kepada 497.5 sen sekg.

Pada jam 5 petang urus niaga Jumaat, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 656.0 sen sekg sementara lateks pukal pada 489.0 sen sekg. - BERNAMA
 

Advertisement